Beberapa kereta ditenggelami air ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Seksyen 17 Padang Jawa, Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 19 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Proton Holdings Bhd menawarkan diskaun 20% bagi alat ganti terpilih serta diskaun 20% bagi caj buruh untuk semua pelanggan yang terjejas akibat banjir yang telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Malah, caj tunda sehingga RM200 serta caj pembersihan bahagian luar dan ruang enjin sehingga RM100 juga akan ditanggung oleh syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, banjir telah menjejaskan beribu-ribu orang dan melanda dengan teruk di Selangor terutama Shah Alam, yang menjadi lokasi ibu pejabat Proton.

“Ramai pelanggan kami melihat rumah dan perniagaan mereka rosak akibat banjir, begitu juga dengan kereta mereka.

“Oleh itu, Proton ingin menghulurkan bantuan kepada mereka supaya kereta mereka dapat digunakan semula,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut beliau, Proton akan bekerja keras untuk memastikan dapat membaiki kereta secepat mungkin dan menasihatkan semua pelanggan yang terjejas menikmati faedah ini.

Jelasnya, alat ganti tulen ditawarkan dengan jaminan, jadi pelanggan boleh yakin dengan kualiti pembaikan. – MalaysiaGazette