Pelabur asing menjual sejumlah AS$704.3 juta ekuiti minggu lalu berbanding AS$705.4 juta pada minggu sebelumnya. - MIDF Research
Menara MIDF di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Firma penyelidikan menyatakan inflasi akan lebih menyederhana pada 2022 dan mengakhiri tahun ini pada 2.5 peratus selepas bergerak pantas ke paras tertinggi lima bulan sebanyak 3.3 peratus tahun ke tahun pada November.

MIDF Research dan Kenanga Research mengunjurkan inflasi pada purata masing-masing  2.1 peratus dan 2.4 peratus tahun depan.

Kedua-duanya menyaksikan kadar inflasi utama akan kekal tinggi pada bulan terakhir 2021.

MIDF Research berkata, Disember 2021 mungkin melihat satu lagi pertumbuhan harga melebihi paras 3.0 peratus.

Ia berkata kekangan rantaian bekalan global akan berkurangan dan harga komoditi kembali normal menjelang pertengahan 2022.

”Selain itu, dasar monetari yang semakin ketat dijangka berlaku tahun depan dengan pemulihan dalam permintaan domestik dan pasaran buruh terus berjalan lancar.

”Sekiranya inflasi meningkat, kami percaya kerajaan mempunyai langkah fiskal yang mencukupi untuk membendung inflasi, terutamanya melalui pendekatan subsidinya,” kata MIDF Research dalam nota hari ini.

Sementara itu, Kenanga Research berkata, harga makanan dijangka meningkat seiring dengan tempoh musim perayaan dan berkemungkinan terjejas akibat banjir teruk di Lembah Klang dan negeri lain.

‘’Kenaikan harga makanan global seperti yang dicerminkan dalam Indeks Harga Makanan Organisasi Makanan dan Pertanian terkini (27.3 peratus tahun ke tahun) dan harga bahan api di tengah-tengah huru-hara rantaian bekalan pasca pandemik akan menambah tekanan inflasi dalam ekonomi domestik.

”Namun begitu, kami terus kekal berhati-hati dalam situasi kebimbangan yang semakin meningkat terhadap penularan varian Omicron,” katanya.

Inflasi makanan melonjak melepasi paras tertinggi tiga tahun pada November 2021. – MalaysiaGazette