Home Utama Kereta ditunda terbalik elak tayar tersangkut dalam longkang – Polis

Kereta ditunda terbalik elak tayar tersangkut dalam longkang – Polis

KUALA LUMPUR -Polis terpaksa menunda sebuah kereta yang terbabit kemalangan berhampiran sebuah sekolah di Jalan Syed Putra, di sini demi keselamatan pengguna jalan raya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pihaknya mengesan video berdurasi lapan saat yang tular di media sosial itu malam tadi.

“Hasil siasatan mendapati kejadian itu telah berlaku pada 18 Disember lalu, sekitar jam 10.55 pagi di Jalan Syed Putra berhampiran SJK (C) Kuan Cheng.

“Kereta Proton Saga berwarna putih itu terbalik di bahu jalan berhampiran longkang dalam posisi keempat-empat tayar akibat kemalangan ketika cuaca hujan dan kereta itu tidak boleh digerakkan dalam posisi asal.

“Jika kereta itu ditarik pada posisi asal, berkemungkinan kedua-dua tayar belakang akan tersangkut di dalam longkang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sarifudin berkata, pihaknya telah mendapat persetujuan daripada pemandu kereta itu, dan pihak Unit Tunda JSPT Kuala Lumpur telah menunda kereta itu sejauh lima meter di atas jalan dan diterbalikkan ke posisi asal dengan bantuan orang awam.

Beliau menambah, tindakan itu terpaksa diambil bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain, anggota JSP serta pemilik kenderaan tersebut.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik ( JSPT ), Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana- mana balai Polis berhampiran.

“JSPT juga menasihatkan pengguna jalanraya agar sentiasa berhati-hati ketika memandu dalam keadaan jalan basah disebabkan cuaca hujan,”  katanya.- MalaysiaGazette