KUALA LUMPUR – Agrobank menawarkan pelan bantuan banjir bagi pelanggan-pelanggan yang terkesan dengan bencana itu menerusi  penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan (R&R) dan tawaran moratorium sehingga enam bulan.

Menurut Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, bantuan yang disediakan ini untuk mengurangkan beban yang dihadapi oleh pelanggan-pelanggan terlibat.

Dalam pada itu, Agrobank juga akan menyediakan bantuan pembiayaan kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan dengan banjir menerusi Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (DRF 2022) berjumlah RM200 juta, yang mana pembiayaan ini juga turut dikongsi bersama bank komersial, islam serta institusi kewangan pembangunan lain.

Kemudahan pembiayaan ini sehingga RM500,000 bagi setiap PKS dan RM75,000 bagi setiap usahawan mikro dengan kadar keuntungan 3.5% setahun termasuk fi bermula daripada 27 Disember sehingga peruntukan sebanyak RM200 juta digunakan sepenuhnya.

Agrobank juga mengecualikan caj bagi penggantian kad ATM dan buku simpanan yang telah musnah akibat banjir. – MalaysiaGazette