Guardiola tidak ada masalah Ferran Torres meninggalka Etihad untuk menyertai Barcelona dalam masa terdekat.BBC Sport

LONDON – Pep Guardiola pada Khamis mengesahkan penyerang muda kelab itu Ferran Torres akan menyertai kelab La Liga Sepanyol, Barcelona.

Pengurus Manchester City itu sambil menyambut baik perkembangan itu berkata, ia akan mencerahkan masa depan penyerang Sepanyol itu.

Difahamkan  the Catalans bersetuju untuk membayar yuran berjumlah £46.7 juta untuk khidmat pemuda berbakat berusia 21 tahun itu berpindah ke Nou Camp.

Barcelona masih mampu membiayai dana membeli pemain EPL berkenaan walaupun dilanda krisis kewangan yang teruk.

“Jika dia mahu meninggalkan Etihad, kami tidak kecewa sama sekali kerana itu hasrat dia dan saya gembira untuk dia.

“Jika kamu mahu meninggalkan kelab disebabkan tidak gembira di sini dan hanya boleh gembira bersama kelab lain maka kamu perlu berpindah dan saya rasa itulah yang terbaik untuk pemain itu,” kata Pep.

Torres telah melakukan 43 penampilan bersama Man City dan menjaringkan 16 gol sejak berpindah ke Etihad dari valencia pada Ogos 2020.

Torres telah beraksi dalam enam perlawanan pertama awal musim ini sebelum diletakkan di bangku simpanan sejak terikat seri tanpa jaringan dengan Southampton pada September lalu.

Malah kecederaan kaki semasa bersama pasukan Sepanyol pada perlawanan antarabangsa Piala Dunia turut menjadi faktor pemain itu tidak menjadi pilihan kesebelasan utama skuad Pep.

“Apabila Barcelona atau Real Madrid mengetuk pintu pemain sudah pasti sukar untuk pemain itu mengatakan tidak kepada tawaran yang hadir.

“Mereka (Barcelona) masih merupakan pasukan terkuat di dunia dari segi fesyen, bandar raya dan pelbagai lagi sebab.

“Dia (Ferran) juga anak Sepanyol dan apabila Barcelona pujuk dia saya faham kenapa dia(Torres) mahu tinggalkan kelab ini,” tambah Pep.- BBC Sport