Antara bahan masakan yang digunakan untuk membuat makanan yang akan diberi kepada golongan yang terjejas akibat banjir ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Gurwara Sahib Petaling Jaya, Selangor. FotoAMIRUL SHAUFIQ 22 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Terkesan dengan nasib menimpa mangsa banjir di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, ramai pihak tampil menghulurkan bantuan termasuklah rumah ibadat Gurdwara Sahib Petaling Jaya.

Presiden rumah ibadat berkenaan, Awtar Singh Terry berkata, inisiatif itu merupakan amalan yang sudah diamalkannya sejak dahulu iaitu membantu sesiapa yang memerlukan.

“Kami meneruskan tradisi, cumanya pada kali ini, ia adalah bencana banjir dan melibatkan ramai orang dan banyak kawasan yang terjejas.

“Tidak mungkin kami dapat lakukan sendirian tetapi tidak sangka rakyat Malaysia mempunyai hati yang baik datang sini membantu,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Presiden Gurdwara Sahib Petaling Jaya, Awtar Singh Terry ketika ditemubual bersama Malaysia Gazette. Foto AMIRUL SHAUFIQ 22 DISEMBER 2021.

Menyediakan lebih 2,000 pek makanan setiap hari, usaha murni rumah ibadat itu bagaimanapun telah dipertikaikan sesetengah pihak berkaitan status halal menu yang dimasak.

Bagaimanapun, Awtar menjelaskan, isu berkenaan tidak timbul kerana menu yang kami sediakan ini adalah berasaskan sayur.

“Telur ayam pun tak ada, menu kami hanyalah nasi dan sambal tumis serta sayur,” ujarnya.

Jelas Awtar lagi, rumah ibadat itu turut menerima kehadiran bekas Menteri Agama, Senator Datuk Seri Zulkifli Al-Bakri baru-baru ini.

Bekas Menteri Agama, Senator Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri melihat sendiri proses menyediakan makanan untuk mangsa banjir.

“Beliau datang dan berpuas hati dengan tahap kebersihan dan cara kami memasak. Kami sedar, ada yang risau, tertanya-tanya dan kami faham sensitiviti rakyat Malaysia,” katanya.

Katanya lagi, dengan menu seumpama itu juga, Gurdwara Sahib Petaling Jaya berjaya mengumpulkan ratusan sukarelawan.

“Dengan kuasa media sosial, sukarelawan datang tanpa henti membantu menyiapkan makanan. Ada yang datang pagi hingga tengahari, ada pula yang datang tengahari hingga petang,” katanya.

Menurutnya, pada hari pertama banjir, pihaknya hanya mampu menyediakan makanan dalam kuantiti tidak banyak namun tetapi selepas empat hari, jumlah semakin bertambah hingga mencecah 2,000 pek makanan.

“Sukarelawan ini dibahagi-bahagikan, ada yang memotong bawang, sayur. Ada juga yang memasak, mengisi nasi hinggalah proses membungkus,” katanya.

Antara sukarelawan dari pelbagai bangsa yang terlibat dalam memberikan bantuan kepada golongan yang terjejas akibat banjir ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Gurdwara Sahib Petaling Jaya, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 22 DISEMBER 2021.

Jelas Awtar, pek makanan yang sudah siap akan dihantar ke lokasi yang memerlukan.

“Kami buat berdasarkan panggilan yang diterima. Ada kawasan hanya mahu 20 pek, ada kawasan mahukan 100 pek,” ujarnya.

Awtar berkata, makanan tersebut ada yang dihantar hingga Mentakab, Pahang berdasarkan panggilan yang diterima.

“Kami tidak mengira kawasan, mana yang mahu, kami akan hantar. Selain itu, ada juga keperluan asas seperti beras, gula, pakaian, tilam dan bantal juga kami berikan. Ini juga sumbangan rakyat Malaysia,” jelasnya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast