Long Tiger OCPD Tangkak police escape Rohingya Ayob Khan Mydin Pitchay. Foto SYAFIQ AMBAK, 03 APRIL 2021
Ayob Khan Mydin Pitchay. Foto SYAFIQ AMBAK, 03 APRIL 2021

KUALA LUMPUR – Desas-desus siapa bakal mengisi jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) terjawab apabila Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dikatakan akan kembali ke Bukit Aman bagi menjawat jawatan itu.

Beliau yang kini merupakan Ketua Polis Johor akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, berkuatkuasa Ahad ini.

Anak jati Kedah ini memegang jawatan itu pada 6 Mac 2020.

Sebelum bertukar ke Johor, Ayob menyandang jawatan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman sejak 11 Ogos 2016.

Beliau terkenal dengan kejayaan melumpuhkan kumpulan militan, khususnya Daesh dan pengganas lain dengan mengelak Malaysia dijadikan lokasi transit oleh golongan ekstremis tersebut.

Antara kejayaan Ayob Khan termasuk menumpaskan Long Tiger iaitu lelaki warganegara Myanmar yang mendalangi sindiket penyeludupan migran asing selain membongkar kegiatan serta melumpuhkan kegiatan Geng Nicky.

Selain itu, beliau dikenali dengan sikap tidak pilih bulu susulan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai dan anggota polis yang bersubahat dengan sindiket jenayah.

Sementara itu, jawatan Ketua Polis Johor akan diisi Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Manakala Timbalan Pengarah (Integriti) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad akan menggantikan Kamarul Zaman. – MalaysiaGazette