Pemain Perak FC, Nana Poku (tengah) gagal menjaringkan gol selepas berjaya dihalang penjaga gol Selangor FC, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid (kiri) pada perlawanan Piala Malaysia 2021 saingan kumpulan B di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 26 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Banjir yang melanda Pahang ketika ini turut memberi kesan kepada keluarga penjaga gol Selangor FC, Khairulazhan Khalid selepas rumahnya di Kuantan dinaiki air sejak Ahad lalu.

Pemain berusia 32 tahun yang ketika itu berada di Singapura bersama skuad kebangsaan mengakui hatinya tidak tenteram tatkala situasi banjir yang kian membimbangkan tempoh hari apatah lagi berada jauh daripada keluarga.

Namun, perkhabaran terkini daripada adik beradik memberi sedikit kelegaan selepas kesemua ahli keluarga termasuk ibunya telah pun berpindah ke tempat yang lebih selamat dan paras air juga sudah mulai surut.

“Memang rasa tidak senang hati bila fikir keadaan mereka dekat Kuantan, dan saya pula jauh, jadi hanya menunggu perkhabaran daripada adik-beradik sahaja untuk tahu apa yang berlaku.

“Alhamdulillah semua dalam keadaan baik, dan sekarang semua tengah bergotong royong membersihkan rumah, tiada barang berharga yang musnah, cuma motosikal yang saya tumpangkan di rumah kawan di Kuala Lumpur pula tenggelam.

“Rasanya bulan ini penuh dugaan dengan saya positif Covid-19 sebelum ini dan dengan ditimpa bencana seperti ini pula, tapi Alhamdulillah semuanya beransur pulih”, katanya.

Terdahulu, kejadian banjir teruk telah menimpa beberapa kawasan termasuk Kuantan sejak beberapa hari lalu sehingga memusnahkan kediaman dan harta benda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast