Datin Seri Rosmah Mansor, wife of former Prime Minister Datuk Seri Najib Razak leaves the Kuala Lumpur High Court after taking stand in her defence over the the RM1.25 billion solar hybrid project corruption trial. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 06 OCTOBER 2021. Rizal Mansor Jepak Holdings
Datin Seri Rosmah Mansor.. Foto AFFAN FAUZI.

KUALA LUMPUR – Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini sedikit beremosi, menangis dan meluahkan rasa kecewa terhadap pendakwaan rasuahnya yang dianggap satu konspirasi.

Malah ketika sedang disoal balas oleh peguambela, Rosmah meluahkan perasaannya dan apabila cuba ditenangkan, beliau meminta kebenaran daripada Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan untuk meneruskan percakapan.

“Yang Arif, bolehkah saya luahkan perasaan saya? Saya juga manusia biasa.

“Saya sebenarnya tidak faham bagaimana Datuk Rizal Mansor (bekas pembantunya) dilepas begitu sahaja oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) yang ketika itu diterajui oleh Tan Sri Tommy Thomas.

“Saya sehingga hari ini tidak pernah buat sebarang pengakuan terhadap tuduhan-tuduhan terhadap saya kerana saya memang tidak melakukannya.

“Tetapi Rizal Mansor ini, ada pengakuan terima RM500,000 dari Jepak Holdings. Ada pergi umrah dengan keluarga, ada pergi bercuti dan sebagainya. Dia yang berjumpa dengan Jepak Holdings.

“Tapi AGC bertindak tarik balik pertuduhan. Patutnya dia yang duduk di kandang bersalah. Dia yang sepatutnya didakwa, dituduh. Bukannya saya tetapi dia terlepas, saya pula dikenakan dakwaan yang tidak benar.

“Bayangkan perasaan saya Yang Arif apabila dia lalu depan saya, bebas begitu sahaja?” soalnya ketika prosiding di hadapan pendakwaan diketuai, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Kata Rosmah, Rizal juga mempunyai pelbagai keburukan termasuklah bercakap bohong dan bercita-cita besar dalam menyertai politik.

Tetapi apa yang dikesalkan oleh Rosmah ialah apabila Rizal banyak menggunakan namanya sebagai pembantu khas sehingga menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan ahli politik kononnya beliau di belakang Rizal.

“Pernah sekali, suami saya (Datuk Seri Najib Razak) balik rumah dan bertanya kepada saya adakah Rizal berminat untuk menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kebangsaan. Saya terkejut dan kata tidak tahu apa-apa.

“Suami saya kemudian memberikan amaran kepada saya Rizal sedang mempergunakan nama saya untuk cita-cita politiknya. Ketika itu, Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin. Beliau sendiri ingat saya minta Rizal bertanding sedangkan saya langsung tidak tahu.

“Saya panggil Rizal dan beritahu dia, jika dia berminat hendak jadi ahli politik dengan bertanding jadi Ketua Pemuda, bukan sahaja dia kena berhenti kerja sebaliknya juga perlu ada wang yang banyak. Dengan kerja di JPM, gaji dia memang tidak seberapa untuk masuk politik.

“Rizal diam sahaja. Dia banyak guna nama saya untuk agenda dia, orang lain pula segan hendak beritahu saya. Saya sendiri banyak kali bertanya kepada Datuk Azizah Abot, mana Rizal dapat duit pergi bercuti dengan kerap ke luar negara seperti Australia, umrah satu keluarga dan macam-macam lagi,” ujarnya.

Rosmah ketika ini sedang membela diri Rosmah atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar hibrid di sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin melalui pembantunya ketika itu sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan. – MalaysiaGazette

Zakat LZS

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast