Hasni Mohamad

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan semasa musim tengkujuh.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohamad berkata, kelewatan dalam usaha menyelamat dan memberi bantuan kepada mangsa banjir tidak boleh dikompromi kerana nyawa dan keselamatan rakyat adalah keutamaan kerajaan negeri.

“Dalam menghadapi situasi bencana, saya menyeru semua agensi dan jabatan supaya kurangkan karenah birokrasi dan tidak menuding jari menyalahkan mana-mana pihak.

“Oleh itu, saya berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  termasuk belia sentiasa membantu mangsa banjir di negeri-negeri lain,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak leka dan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut Hasni, beberapa perkara telah dibincangkan hasil taklimat dan pertemuan secara maya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor bagi menghadapi Monsun Timur Laut.

Ini termasuk penambahbaikan sistem pengurusan bencana banjir dengan mengambil kira keadaan di luar jangkaan.

“Antara yang kita bincangkan ialah langkah mempertingkatkan persiapan menghadapi banjir serta pengukuhan sistem komunikasi sebaran awal kepada masyarakat sekitar.

“Saya juga mengarahkan agensi yang terlibat untuk melakukan latihan penyelarasan bagi menghadapi bencana di luar jangkaan.

“Latihan tersebut adalah bertujuan bagi memastikan gerak kerja menyelamat dan memberikan bantuan semasa bencana banjir dapat diselaraskan dengan baik serta dilakukan segera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast