Madrasah Ahbabul Mustafa Al-Islamiah Tumpat Kelantan membantu membersihkan kawasan madrasah selepas kawasan dinaiki air berikutan banjir ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Madrasah Al-Falah Taman Sri Muda Shah Alam.Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 24 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM –  Banjir yang melanda sekitar Shah Alam khususnya di Taman Sri Muda baru-baru ini sangat memberi kesan kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Bukan sahaja premis perniagaan malah rumah-rumah ibadat juga terjejas teruk dan antara yang mengalami pelbagai kerosakan.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, sebuah masjid di Taman Sri Muda yang mula dibersihkan sejak pagi tadi.

Masjid berkenaan adalah Masjid Al-Falah Taman Sri Muda yang bersebelahan dengan Madrasah Al-Falah Taman Sri Muda.

Tanpa menunggu pihak berkuasa, kerja-kerja pembersihan rumah ibadat berkenaan dilakukan oleh Pasukan Khidmat Madrasah Ahbabul Mustafa Al Islamiah yang datang daripada Tumpat, Kelantan.

Jurucakap pasukan berkenaan, Anas Aziz berkata,  mereka secara sukarela membersihkan masjid-masjid di beberapa kawasan yang dilanda banjir di Selangor sejak Sabtu lalu lagi.

Madrasah Ahbabul Mustafa Al-Islamiah Tumpat Kelantan, Anas Aziz bercakap pada media selepas membantu membersihkan kawasan madrasah selepas kawasan dinaiki air berikutan banjir ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Madrasah Al-Falah Taman Sri Muda Shah Alam.Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 24 DISEMBER 2021.

Ujarnya, inisiatif itu atas dasar tanggungjawab  sebagai umat Islam untuk menghulurkan bantuan kepada saudara seagama yang lain.

“Kita di sini sudah empat hari berkampung yang mana kita bermula di Hulu Langat, Meru dan hari ini salah satu pilihan kita di sini. Kita mahu terus membantu yang memerlukan.

“Pasukan khidmat ini bukan sahaja sumbang tenaga untuk mencuci tetapi juga menyumbangkan keperluan asas yang lain seperti toto, kit pembersihan.

“Pembersihan kita tengok, madrasah kita di Tumpat ada pelajar dari pelbagai negeri. Jadi keutamaan mereka dulu, selepas itu kita cari masjid lain,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Katanya lagi, pasukan khidmat seramai 50 orang berkenaan cuba menyelesaikan kerja pembersihan masjid tersebut sehingga 2 petang ini sebelum bertolak kembali ke Kelantan.

Ujarnya, dalam perjalanan balik kelak, Pasukan Khidmat Madrasah Ahbabul Mustafa Al Islamiah itu akan singgah di Pahang bagi membantu membersihkan mana-mana rumah ibadat di negeri tersebut pula.

Pasukan khidmat itu menggerakkan 50 tenaga dari  Kelantan beserta lebih kurang 30 kenderaan khusus untuk membantu penbersihan.

Dalam pada itu, MalaysiaGazette turut membuat tinjauan ke Masjid Taman Sri Muda dan sehingga kini masjid berkenaan belum dibersihkan lagi.- MalaysiaGazette