Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan

SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan beberapa garis panduan kepada mangsa banjir melibatkan kenderaan milik mereka.

Mangsa banjir disarankan membuat laporan polis segera sekiranya kenderaan mereka yang tersadai akibatĀ  di kawasan terjejas, dicuri, ditunda atau dipecah oleh individu tidak dikenali.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, mereka perlu tampil ke balai polis untuk membuat laporan.

“Anda boleh datang sendiri ke balai untuk atau meminta anggota datang ke premis masing-masing untuk diambil laporan.

“Pemilik perlu kenal pasti lokasi kenderaan sebelum membuat laporan dan nyatakan tempat letak kereta asal sama ada ianya dihanyutkan atau rosak.

“Pastikan sama ada berlaku kecurian pecah masuk dan nyatakan dalam laporan apa yang hilang dari dalam kereta anda kerana ia antara butiran yang sangat diperlukan syarikat insurans,” katanya kepada media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini hari ini.

Beliau berkata, amat penting untuk mangsa banjir yang terbabit mengenal pasti pihak yang menunda kenderaan mereka.

“Mangsa perlu kenal pasti sama ada identiti dan alamat syarikat yang dilihat menunda kenderaan anda yang kawasan banjir. Lihat dan kenalpasti nama serta alamat syarikat lori tunda dari majlis perbandaran tempatan atau pihak lain.

“Kemudian dapatkan juga butir-butiran penuh syarikat penunda dan lokasi di mana kereta anda akan dibawa untuk proses pembaikan semula.

“Yang paling penting, sila ambil gambar kenderaan anda yang rosak dan lebih penting ambil juga gambar kenderaan yang menunda,” katanya.

Beliau menambah kesemua maklumat tersebut diperlukan oleh pihak insuran untuk membuat penilaian terhadap kenderaan mangsa yang rosak penuh dalam banjir besar itu.-MalaysiaGazette