Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani bercakap pada sidang media khas mengenai situasi terkini keadaan banjir Selangor di Pos Kawalan Taman Sri Muda Shah Alam. Foto AMIRUL SHAUFIQ 25 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Seramai lima lagi mangsa terbaharu mati lemas akibat banjir telah dilaporkan hari ini sekaligus menjadikan keseluruhannya seramai 46 orang setakat 4 pagi ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, mengikut pecahan negeri, Selangor paling banyak melaporkan insiden mati lemas iaitu seramai 25 mangsa.

Ia diikuti Pahang seramai 18 mangsa terkorban dan tiga di Kelantan.

“Justeru, seramai lima lagi mangsa dilaporkan masih hilang akibat musibah luar biasa itu sehingga kini,” katanya dalam sidang media khas di Pos Kawalan Tempat Kejadian di Seksyen 25, Taman Sri Muda di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan menambah seramai lima lagi mangsa yang dilaporkan masih hilang akibat banjir itu telah dikenal pasti berlaku di Pahang.

Kesemua lima mangsa itu dikenal pasti sebagai lelaki dan masih belum ditemui.

“Tetapi usaha-usaha untuk mengesan mereka sedang dipergiatkan pasukan mencari dan menyelamat dan harap ditemui secepat mungkin,” ujarnya.

Dalam satu lagi perkembangan sama, Acryl juga memaklumkan polis JSJ Bukit Aman dan juga kontinjen negeri telah menggerakkan seramai 377 pegawai dan anggota terdiri daripada 94 pasukan di seluruh negara khususnya membabitkan kawasan yang terjejas akibat banjir.

Pasukan itu akan terlibat dalam aktiviti pemantauan dan pencegahan memastikan kejadian jenayah pecah premis dan curi kenderaan tidak berulang lagi.

“Pasukan-pasukan ini akan diketuai oleh ketua-ketua JSJ kontinjen negeri masing-masing.

“Malah sehingga kini tiada kertas siasatan baharu dibuka setakat ini dalam berkaitan insiden pecah premis dan curi kenderaan ikut laporan, kita mendapati sejumlah 15 kes telah dilaporkan bermula 17 di sehingga 24 Disember lalu dan semalam takde kes baharu harap situasi ini terus kekal.

“Lima kes adalah berkaitan kecurian motosikal dan kereta mangsa manakala 10 kertas siasatan dibuka polis dan disiasat berkaitan kes insiden pecah rumah dan premis perniagaan,” tegasnya.-  MalaysiaGazette