Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid bercakap pada sidang media khas mengenai situasi terkini keadaan banjir Selangor di Pos Kawalan Taman Sri Muda Shah Alam. Foto AMIRUL SHAUFIQ 25 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang mengendalikan mangsa banjir di Taman Sri Muda di sini sejak 18 Disember lalu tidak akan ditutup.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Muhammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya akan meneruskan operasi PKOB memandangkan proses pemulihan pasca banjir di kawasan perumahan itu dijangka mengambil masa sehingga Sabtu depan.

“Kita akan meneruskan operasi PKOB sehingga Sabtu minggu depan kerana mereka yang datang kepada kami bukannya kehilangan tempat tinggal atau meminta diselamatkan, mereka sebenarnya memerlukan bantuan keperluan asas secara berterusan pada waktu pasca banjir ini.

“Kerajaan telah bertindak memberi bekalan bantuan termasuk tempat pos tentera dan polis serta badan tertentu termasuk Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA) dan bantuan itu akan diteruskan,

“Bomba akan terus diberikan melalui kerja-kerja pemulihan pasca banjir dengan membersihkan dan kediaman serta mengalihkan sampah berskala besar dari rumah mangsa,” katanya dalam sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini petang tadi.

Tambah Muhammad Hamdan, banyak peralatan elektrik dan harta benda penduduk musnah sehingga menjadikan mereka tinggal sehelai sepinggang.

Lagi pun katanya, barang bantuan yang disediakan oleh bomba hasil sumbangan pihak luar akan terus disalurkan kepada penduduk yang benar-benar memerlukan.

“Kemudian, kita akan menyelaraskan bantuan itu memandangkan selepas air surut menyebabkan kediaman mereka rosak sehingga menyulitkankan mereka memasak bagi penyediaan makanan.

“Bagi tujuan itu, kita menyediakan banyak makanan segera seperti mi segera dan sebagainya disamping segala sumber bekalan makanan yang disumbang pihak luar dinilai dan diperiksa teliti bagi memastikannya bersih, selamat dan terjamin.

“Kita akan terus beroperasi sehingga mendapat memastikan penduduk di kawasan perumahan yang terjejas teruk dalam bencana banjir di sini betul-betul pulih sepenuhnya dan selamat memulakan kehidupan normal dan selesa, barulah kita akan rujuk kepada NADMA untuk menutup operasi di sini,” ujarnya.

Justeru beliau juga mengesahkan sebanyak 245 keluarga pegawai dan anggota bomba turut terjejas akibat banjir kali ini dan satu skuad kebajikan ditubuhkan untuk menyalurkan bantuan termasuk membersihkan rumah, membuang sampah selain membekalkan makanan kepada mereka.

“Data-data mereka yang terjejas (keluarga bomba) sedang dikumpul dan dikemaskini untuk menyediakan bantuan daripada jabatan dan pihak NGO yang ingin memberikan sumbangan amal,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, para anggota bomba komited dan bekerja 24 jam secara bergilir dan ramai yang ‘bermalam’ di PKOB.

Menurutnya, setiap bantuan pasca banjir akan dihulurkan tanpa memilih bulu dan menasihatkan orang ramai tampil mengadu segera sekiranya wujud unsur pilih kasih dalam pengagihannya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati penduduk yang dibenarkan kembali ke kediaman mereka agar memastikan aspek keselamatan diutamakan khususnya ketika menggunakan soket atau suis yang ditenggelami air kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik.

“Penduduk juga perlu berhati-hati apabila menggunakan gas memasak di dapur mengelak letupan akibat kebocoran gas.

“Jika anda menerima kunjungan tetamu tidak diundang seperti haiwan reptilia liar dan haiwan berbisa memasuki rumah jangan mengendalikan iseorang diri dan segera laporkan kepada bomba mengelak membawa padah,” ujarnya.- MalaysiaGazette