Seorang remaja lelaki ditemui mati lemas di Lata Air Hitam, Jelai di sini hari ini.

BATU KURAU – Seorang remaja lelaki ditemui mati lemas di Lata Air Hitam, Jelai di sini hari ini.

Mangsa, Mohammad Fathussalam Mohd Bajarulnizam, 16, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan.

Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.17 tengah hari.

Susulan itu, sepasukan anggota  dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Kurau telah dikerahkan ke lokasi bagi operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai lemas semasa mandi di kawasan rekreasi itu.

“Mayat mangsa ditemui kira-kira dua meter dari lokasi dia dipercayai lemas  oleh orang awam pada pada 12.47 tengah hari tadi,” kata kenyataan itu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Taiping dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette