Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak menghantar 220 sukarelawan membabitkan 130 pelajar dan 90 kakitangan untuk menyantuni mangsa banjir.- Gambar FB UPSI.

KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak menghantar 220 sukarelawan membabitkan 130 pelajar dan 90 kakitangan untuk menyantuni mangsa banjir.

Naib Canselornya, Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, selain
menyampaikan sumbangan UPSI menggerakkan sukarelawan bersama ResQ Team yang dibentuk beberapa tahun lalu untuk bertindak proaktif turun ke kawasan-kawasan dilanda bencana dan membantu membersihkan rumah mangsa banjir.

“Beberapa persatuan membabitkan kakitangan dan pelajar digerakkan ke lokasi banjir untuk membantu mencuci rumah-rumah mangsa selain menyampaikan sumbangan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

UPSI, kata Md Amin, berganding bahu bersama universiti-universiti awam yang lain mencuci rumah-rumah mangsa banjir yang dipenuhi lumpur.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin berkata, antara barangan keperluan yang diterima daripada penyumbang ialah bantal, tuala mandi, tilam, tuala wanita, pampers, bantal, susu Formula, hand sanitizer, air mineral, toiletries, makanan kering,
makanan kucing, mainan serta biskut.

Beliau berkata Pusat Kaunseling UPSI diketuai pengarah, Dr Pau Kee turut menggerakkan kempen agar orang ramai memberi sumbangan sama ada dalam bentuk wang tunai mahupun pakaian dan barangan keperluan harian.

Beliau bersama sukarelawan menyampaikan sendiri sumbangan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Surah Al-Falad, Taman Sri Muda.

UPSI juga akan menghantar sumbangan kepada 29 keluarga yang
menumpang di Pusat Pemindahan Banjir Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) Batu 4, Teluk Intan yang menempatkan 10 keluarga mangsa dari Batu 7, Jln Changkat Jong, Batu 7 1/2, Lorong Mesra serta Pusat Pemindahan Dewan Bandaran Teluk Intan yang menempatkan 19 keluarga dari Kampung Baru, Batu 8, Teluk Intan.

Hari ini 26 sukarelawan diketuai pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSKJ), Farizul Athir Mohd Ramli digerakkan ke Parit Mahang, Jeram Selangor untuk membantu mangsa banjir mencuci rumah yang dikotori lumpur.

Sementara itu, Kesatuan Pegawai Am (KPA) UPSI bersama Pusat
Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) menggerakkan 30 sukarelawan ke Hulu Langat, Selangor mencuci tujuh rumah mangsa di bahagian dalam dan luar dengan menggunakan jet air.

Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS)
menyediakan dana sumbangan sebanyak RM3,000 manakala UCTC memperuntukkan dana sebanyak RM2,720 untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

“Kami juga dibantu semua kolej kediaman untuk menyediakan sukarelawan selain menggerakkan usaha mendapatkan sumbangan,” katanya.

Menurut beliau, seramai 388 pelajar UPSI terkesan oleh musibah banjir turut mendapat simpati universiti untuk disalurkan sumbangan.

Mana-mana pihak yang ingin memberi sumbangan kepada Tabung UPSI Prihatin boleh disalurkan ke akaun 08068010003264 (Bank Islam Malaysia Berhad).- MalaysiaGazette