Zulharith (tiga dari kiri) pada sidang media tuntutan Kesatuan Kakitangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (KKLTAT). Foto Hariyati Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kakitangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (KKLTAT) hari ini menuntut pengurusan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memberi perhatian terhadap kebajikan kakitangan, kepentingan pencarum serta hala tuju lembaga itu.

Presidennya, Zulharith Shahrizzan Kumar Abdullah mendakwa, hak kakitangan LTAT yang berkhidmat sebelum 1 Oktober 2018 dinafikan daripada menerima pelarasan gaji melalui semakan semula skim gaji dan skim perkhidmatan yang sepatutnya berkuatkuasa pada 1 Januari 2020.

Zulharith berkata, pihak pengurusan LTAT memberi alasan kekangan kewangan merupakan punca kegagalan membayar tunggakan tersebut.

“Jika benar berlaku kekangan kewangan, kami boleh terima, tetapi kewangan ketika ini berada dalam keadaan baik dan terdapat juga pengambilan kakitangan baharu secara tetap dan kontrak dengan gaji yang tinggi dan melebihi market practice serta tidak mengikut prosedur dan polisi LTAT sedia ada.

“Selain itu, bayaran bonus bagi 2019 dan 2020 juga tidak dilakukan dengan tidak adil dan telus apabila pegawai atasan mendapat lebih daripada kakitangan bawahan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Berikutan itu menurut Zulharith, pihaknya menuntut LTAT supaya membekukan pengambilan pegawai baharu dan meneliti semula jawatan baharu yang tidak mengikut keperluan agar kos operasi dan pentadbiran lembaga itu dapat dikurangkan.

KKLTAT turut menuntut supaya pengisian jawatan kosong diisi oleh kakitangan dalaman dan diberi peluang kenaikan pangkat agar kos dapat dikurangkan, ujarnya.

“Tahun 2020 pendapatan bersih dalam lingkungan RM223 juta dan kos operasi serta pentadbiran juga meningkat 10 ke 15 peratus daripada tahun 2019 dan dijangka meningkat sehingga 15 ke 20 peratus pada tahun ini.

“Jabatan Sumber Manusia (JSM) juga telah gagal menguruskan manfaat perubatan kakitangan apabila melantik pihak ketiga untuk menguruskannya mulai 1 Disember 2021.

“KKLTAT telah membantah pelantikan Third Party Administrator (TPA) ini kerana tidak memberi manfaat kepada LTAT dan kakitangan,” tambah beliau.

Justeru, Zulharith berharap pihak berkaitan dapat memainkan peranan agar LTAT dapat diselamatkan dan dikembalikan zaman kegemilangannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast