Ketua Pegawai Eksekutif Maahad Tahfin Negeri Pahang, Mohd Lafzul Muda (kanan) mengucapkan tahniah kepada dua calon SPM 2024 Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang atas pencapaian cemerlang 8A+.

KUANTAN – Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) di bawah Yayasan Pahang sekali lagi merekodkan prestasi membanggakan apabila dinobat sebagai sekolah terbaik di negeri itu dalam pencapaian keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Mohd Lafzul Muda berkata, ia merupakan tahun ke -11 institusi itu mencatat prestasi cemerlang meskipun Gred Purata Sekolah (GPS) menurun 0.08 peratus berbanding tahun lepas.

“Untuk tahun ini, paling membanggakan kita adalah 23 daripada 25 calon bagi kumpulan pertama Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang yang merupakan sebahagian daripada institusi di bawah kumpulan Tahfiz Pahang berjaya mendapat keputusan semua A dalam kesemua mata pelajaran yang diambil.

“Satu pencapaian yang sangat membanggakan.

“Sukacita saya nak tekankan di sini kesemua pelajar MTNP  termasuk calon Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang telah pun menghafal 30 juzuk al-Quran dan juga telah lulus ujian Syahadah Al-Quran 10, 20 dan lima juzuk. Itu antara kelebihan atau nilai tambah berbanding calon dan pelajar yang lain,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Mohd Lafzul Muda

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman keputusan SPM 2024 di Yayasan Pahang di sini hari ini.

Menurut Lafzul, calon daripada Maahad Tahfiz Turath mengambil lapan mata pelajaran sahaja iaitu lima mata pelajaran teras (Bahas Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah) serta tiga mata pelajaran Turath (Usul Al-Din, Al-Syariah dan Al-Lugha Al-Arabiah Al-Mu’asirah).

Salah seorang calon Maahad Tahfiz Turath yang memperoleh keputusan 8A+ iaitu Muhammad Zaki Zainal Abidin, 18, ketika ditemui mengakui berdepan cabaran untuk memperoleh keputusan yang cemerlang.

“Memandangkan saya dan rakan-rakan lain ni merupakan kumpulan pertama bagi Maahad Turath ini, jadi kami tiada rujukan terdahulu untuk dijadikan contoh.

“Jadi, perlu pandai mengurus masa untuk ulangkaji mata pelajaran teras dan mengulang hafal Al-Quran.  Saya biasanya akan mengulangkaji pada waktu malam. Tapi sampai masa untuk SPM, saya akan tidur awal dan bangun awal,” katanya.

Muhammad Zaki Zainal Abidin (tengah) bergambar bersama bapa, Zainal Abidin Mohamad dan ibunya Zainab Mohamad

Muhammad Zaki yang berasal daripada Bentong juga memberitahu dia mula menghafal al-Quran sejak di tingkatan satu lagi.

Lain pula bagi Ahmad Rafiq Mohd Shaikhudin, 18, yang turut memperoleh keputusan 8A+ dalam peperiksaan SPM 2024.

Ahmad Rafi tidak gemar menghabiskan kebanyakan masa mengulangkaji mata pelajaran teras sebaliknya lebih memilih untuk mengulang hafal al-Quran.

Menurut anak kelapan daripada sembilan beradik itu, dia lebih suka menumpukan perhatian ketika pembelajaran dalam kelas dan tidak akan tidur lewat semata-mata untuk mengulangkaji.

Ahmad Rafiq Mohd Shaikhudin (kanan) bergambar bersama ibunya, Khairunisa Ismail dan abang, Ahmad Raid Mohd Shaikhudin

“Ada orang sanggup belajar sampai lewat tengah malam tapi keesokannya mengantuk. Bagi saya, kalau dalam kelas, fahamkan betul-betul. Selagi tak faham, bertanyalah sehingga barulah sambung pembelajaran seterunya.

“Sebab kalau kita simpan sikit demi sikit, sampai kesudah kita tak akan faham. Sebab pelajaran berkait dan bersambung-sambung.

“Selain itu, saya akan menyiapkan kerja sekolah yang diberikan cikgu dan menganggap ia seperti proses mengulangkaji pelajaran tersebut,” katanya lagi.

Kedua-dua mereka memberitahu mahu melanjutkan pelajaran ke Maghribi dan mendalami pengajian berkaitan al-Quran.

Difahamkan terdapat 70 calon daripada MTNP dan 50 calon daripada Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang akan menduduki peperiksaan SPM bagi tahun 2025. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast