Kamaruddin menyumbang 300 kit barangan keperluan untuk mangsa banjir di Pahang.

KUALA LUMPUR – Prihatin dan simpati dengan rakyat Pahang yang dilanda banjir, sebanyak 300 kit barangan keperluan termasuk untuk kegunaan bayi sumbangan Timbalan Menteri Luar Negeri dihantar, semalam.

Menurut Datuk Kamaruddin Jaffar yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, kit barangan itu yang mengandungi makanan kering, barangan kepersihan, minuman dan sebagainya dihantar ke Kampung Chegar Medang, Bentong.

Katanya, walaupun bantuan itu dihantar di luar kawasan Parlimen Bandar Tun Razak, namun atas rasa simpati dengan musibah yang menimpa penduduk di situ, pihaknya tanpa mengira lokasi meneruskan misi membantu.

“Saya sentiasa mengambil berat dengan situasi ini dan akan cuba membantu supaya keperluan rakyat mencukupi dan dapat mengurangkan kesusahan mereka.

“Selain kit barangan keperluan, misi ini juga turut menghantar 50 sukarelawan daripada Parlimen Bandar Tun Razak untuk membantu kerja pembersihan kawasan yang terjejas di kampung berkenaan,” katanya.

Pasukan sukarelawan Bandar Tun Razak menjalankan kerja membersih di Kampung Chegar Medang, Bentong.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Misi Bantuan Banjir di Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, di Bandar Sri Permaisuri di sini, semalam.

Menurut Kamaruddin, program itu adalah untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir dan sebagai tanda sokongan serta kebersamaan Parlimen Bandar Tun Razak bersama rakyat.

Beliau berharap, bantuan itu sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan kesusahan yang dihadapi.

“Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita bersama membantu saudara kita yang pada masa ini sedang mengalami kesusahan tanpa mengira latar belakang.

“Kita tidak akan melupakan saudara kita dan akan terus membantu sedaya upaya yang boleh,” katanya. – MalaysiaGazette