Antara barang-barang yang telah rosak selepas kawasan dilanda banjir ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kedai Mr.DIY Taman Sri Muda Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 27 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 12,725 laporan berkaitan banjir diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam sehingga pukul 6 petang hari ini melibatkan kawasan di bawah pentadbirannya.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, jumlah laporan polis harian pula berjumlah 726 laporan.

“Bagi membantu memudahkan mangsa banjir membuat laporan polis berkaitan kerosakan yang dialami, elemen seperti Balai Polis Bergerak, Mobile Patrol Vehicle (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) balai telah diarahkan untuk menerima laporan polis daripada manga banjir di lokasi mangsa berada.

“Laporan ini akan direkodkan dalam borang POL 55 dan boleh diambil oleh pengadu di mana-mana balai berdekatan dalam tempoh 24 jam selepas laporan polis dibuat,” katanya dalam kenyataan media harian Op Banjir IPD Shah Alam hari ini.

Tambah Baharudin, sehingga pukul 4 petang, sebanyak 14 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi membabitkan 1,343 orang yang masih ditempatkan di situ.

Jelas beliau, tiga PPS yang telah ditutup membabitkan Dewan Kenanga Seksyen 28, Intekma Persiaran Raja Muda dan Kafa Masjid Al-Faiizin, Alam Megah.

“Manakala dua lokasi baharu direkodkan sebagai PPS ialah di Masjid Al-Munawwarah Seksyen 27 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Megah 2,” ujarnya.

Dalam pada itu, Baharudin berkata, jumlah kematian melibatkan mangsa banjir kekal 14 orang.

Katanya, kesan banjir di kawasan Sri Muda bertambah pulih dengan kebanyakan pemilik premis dan kedai yang ditenggelami air mula menjalankan baik pulih.

“Kebanyakan warga Sri Muda dan lain-lain kawasan yang terjejas dengan banjir juga didapati sedang melaksanakan kerja-kerja pembersihan di kawasan rumah dengan dibantu sukarelawan.

“Sampah-sarap mula dibersihkan pihak bertanggungjawab dalam usaha memastikan Sri Muda kembali seperti sebelumnya,” kata beliau. – MalaysiaGazette