Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamtan Bukit Aman, YDH CP Datuk Ramli Din hadir ke Majlis Penyampaian Bantuan kepada mangsa banjir di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 27 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Seramai 632 keluarga pegawai dan anggota polis di Selangor turut terjejas akibat bencana banjir yang melanda negeri ini minggu lalu.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, kebanyakan yang terlibat adalah mereka yang bertugas di bawah pentadbiran polis di Shah Alam, Klang Utara serta Kajang.

“(Boleh dikatakan) semua daerah, paling teruk di Shah Alam, Klang Utara, Kajang dan ramai juga yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, malah turut terjejas kuarters dan Balai Polis Sri Muda,” katanya dalam sidang media selepas program penyampaian bantuan kepada mangsa banjir di Menara 1, IPK Selangor hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.

Ramli berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sumbangan daripada enam penyumbang yang terdiri daripada empat syarikat perniagaan dan masing-masing satu persendirian serta Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia.

Ujar beliau, sejumlah 15 tan beras serta sumbangan pakaian baharu diterima untuk diagihkan kepada warga polis yang terjejas akibat banjir termasuk sebahagian orang awam.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Bukit Aman, Datuk Ramli Din menyampaikan sijil kepada penyumbang pada program penyampaian bantuan kepada mangsa banjir di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 27 DISEMBER 2021.

“Sumbangan yang diterima ini akan disalurkan secepat mungkin kepada penerima dengan Ketua Polis Selangor akan selaraskan semua bantuan ini.

“Kita juga faham bahawa tugas-tugas kepolisian di waktu-waktu bencana alam khususnya banjir ini sangatlah memerlukan warga PDRM, di samping menjalankan tugas-tugas membantu dan menyelamat mangsa banjir yang lain, keluarga mereka sendiri juga terjejas.

“Justeru, sedikit sumbangan ini diharap dapat meringankan beban warga PDRM yang terjejas dan selebihnya kita akan agihkan kepada orang awam yang berada di sekitar negeri ini,” ujarnya.

Pada Sabtu lalu, media melaporkan seramai 2,153 warga PDRM terjejas akibat bencana banjir yang melanda di tujuh negeri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, jumlah itu melibatkan 1,081 anggota, 880 pegawai dan 192 kakitangan awam yang berkhidmat dengan PDRM. – MalaysiaGazette