PEKAN – Pengurusan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pekan sudah bersiapsiaga menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka melanda daerah ini.

Pegawai Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkifli berkata, kesemua penduduk yang tinggal berhampiran di kawasan rendah telah dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pekan.

“Pekan memang sudah siap siaga, kami sudah memindahkan mangsa yang tinggal berhampiran Sungai Pahang ke PPS awal bagi menghadapi gelombang kedua.

“Kalau tengok keadaan dari hulu, air dah habis turun, cuma bagi hadapi gelombang kedua ini kalau ikut ramalan Jabatan Meteorologi meramalkan hujan turun bermula 26 Disember.

“Apabila penduduk dipindahkan, sekiranya berlaku hujan dan banjir lagi, tidak lagi terlalu risau kerana semua sudah berada di tempat selamat.

Tambah Zaliza, pihaknya sentiasa memantau situasi semasa banjir di Pekan bagi memastikan penduduk tenang dan tidak panik.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati cuaca di Pekan masih baik namun para penduduk sudah mengalihkan kenderaan ke tempat lebih tinggi dan selamat.

Keadaan air di Sungai Pahang kelihatan surut sedikit dan masih ada lokasi air bertenang sedalam empat hingga tujuh kaki bermula dari bandar Pekan menghala ke Temai.

Paras air Sungai Paloh Inai di paras waspada dan Sungai Pekan pula masih normal.

Sehingga kini, sebanyak 25 PPS dibuka menempatkan 1,790 mangsa banjir melibatkan 573 keluarga.

Manakala satu kematian telah direkodkan di daerah ini sepanjang musim banjir melibatkan pekerja Ladang berusia 36 tahun di Felda Chini pada 23 Disember lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast