Keadaan air bah yang naik sekitar Taman Sri Nanding berikutan banjir kilat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hulu Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 04 NOVEMBER 2020.

HULU LANGAT – Penduduk yang tinggal di Jalan Sungai Congkak, di sini, bersyukur kerana kawasan mereka tidak dinaiki air sebagai mana yang berlaku dalam insiden banjir besar pada minggu lalu.

Rata-rata mereka yang ditemui MalaysiaGazette menarik nafas lega sambil menyifatkan ia adalah kekuasaan Allah dan segala yang berlaku adalah atas kehendak-Nya.

Namun, mereka tetap berasa bimbang sekiranya berlaku pula gelombang kedua dan ketiga seperti yang diramalkan sebelum ini.

Seorang penduduk Mohd Din Jali, 65, berkata, dia sangat bersyukur kerana kawasan Sungai Congkak berada dalam lindungan tuhan meskipun mengetahui malapetaka boleh sahaja menimpa jika ditakdirkan.

Katanya, semasa hujan lebat dia melihat sendiri air Sungai Congkak melimpah hingga menimbulkan kerisauan pada dirinya dan teringat sesuatu yang tidak diduga mungkin boleh berlaku.

Mohd Din Jali

“Air tu pada mulanya naik sikit-sikitlah lepas tu hujan lebat…masa tulah air tu naik. Kepala air tu naik bergulung-gulung bunyi di atas menakutkan.

“Lepas tu saya fikir kawasan di bawah sana mesti terendam sebab air sungai ada tiga cabang di situ, Sungai Langat, Sungai Congkak dan Sungai Lui.

“Saya dah terbayang air ni mesti akan ranapkan kawasan di Dusun Tua, Taman Sri Nanding dan kawasan-kawasan di bahagian bawah,” katanya.

Mohd Din berkata, jika air naik di tiga buah sungai berkenaan dia ia pasti akan menyebabkan banjir besar berlaku di kawasan berkenaan.

Katanya, dia melihat banjir yang melanda kawasan sekitar Hulu Langat berbeza, tidak seperti yang berlaku sebelum ini terutama yang melibatkan Sungai Lui.

“Mungkin dia suruh kita beringat dengan kebesaran dia kehendak dia (tuhan), itu yang patut kita beri perhatian,” ujarnya.

Shamsinar Bakar, 75, memberitahu, dia turut bersyukur kerana kawasan Sungai Congkak tidak ditenggelami air ketika banjir minggu lepas.

Jelasnya, meskipun air naik agak tinggi hingga melepas paras jambatan di hadapan rumahnya namun, semua itu tidak berlaku.

“Saya bersyukur betul pada tuhan sebab tempat ini tak kena banjir…Takut jugalah kami di sini. Cuma kami selamat sebab tidak ada kayu besar yang hanyut. kalau ada memang habis kawasan ini.

Shamsinar Bakar

“Dulu rumah saya di bawah sana, tiga kali saya bina jambatan (sebab runtuh). Baru saya buat tiga bulan tiba-tiba datang air besar…nasib baiklah senget je jambatan tu,” ujarnya.

Perasaan sama turut diluahkan Norhayati Talib, 60, yang berkata, pada mulanya dia juga berasa cemas apabila melihat air menderu di sungai berhadapan rumahnya.

Lebih mencemaskan lagi apabila dia mendapat maklum daripada suaminya yang memberitahu terputus jalan untuk pulang selepas air naik hingga ke aras dada ketika dia hendak pulang dari kerja di Taman Sri Nanding.

Katanya, ketika itu dia hanya mampu bertawakal kepada tuhan dan berserah walau apa jua ditakdirkan akan berlaku.

“Habis nak buat macam mana, dia (suami) nak naik (balik) tak boleh, saya nak turun pun tak boleh.

“Akhirnya suami saya tersangkut dua hari di Taman Sri Nanding itu. Nak telefon tak boleh, apa pun tak boleh…anak saya sampai nasihatkan jangan fikir yang tak baik, fikirlah yang elok-elok pada ayah tu,” katanya.

Norhayati Talib

Tambahnya, dia turut berduka dan menitiskan air mata apabila mengenangkan nasib mangsa-mangsa yang dibadai banjir tempoh hari.

Katanya, meskipun mereka bukanlah saudara maranya namun, penderitaan yang dialami mangsa-mangsa banjir terbabit tetap dirasai olehnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast