Bantuan Wang Ihsan flood victims
Mohd Zuki Ali

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM34 juta telah disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir, kata Pengerusi Pasukan Petugas Khas Pengurusan Pasca Banjir, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Katanya, peruntukan itu merangkumi Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 bagi ketua isi rumah yang terlibat dalam bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.

“Sehingga 27 Disember 2021, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM34 juta untuk disalurkan kepada 34,000 KIR (Ketua Isi Rumah) di negeri-negeri yang terjejas banjir dan mula dibayar pada hari ini,” kata Mohd Zuki dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Zuki, jumlah itu adalah anggaran berdasarkan kepada maklumat KIR yang berdaftar di Pusat Penempatan Sementara (PPS).

Sementara itu, mesyuarat pertama Pasukan Petugas Khas Pengurusan Pasca Banjir yang diadakan pada hari ini dihadiri Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani..

Dalam mesyuarat, Mohd Zuki berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengatur gerak sinergi aset-aset kerajaan dan keperluan aset daripada pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi proses pembersihan banjir.

Tambah beliau, ia juga digerakkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menerusi penyediaan stesen pemindahan sisa pepejal sementara yang dikenalpasti di kawasan terdekat dengan kawasan terjejas banjir secara transit.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu memastikan kelancaran laluan jentera pembersihan untuk mempercepatkan penghantaran sisa pepejal pembersihan ke stesen yang ditetapkan,” jelas Mohd Zuki.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kadar BWI kini dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah yang terjejas ketika Monsun Timur Laut atau terkesan dengan lain-lain bencana diisytiharkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat. – MalaysiaGazette