Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (tengah) diiringi Pengerusi Lembaga Zakat Selangor, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail bergambar kenangan bersama penerima pengiktirafan muzakki pada Majlis Pengiktirafan Muzakki LZS di PKPS, Shah Alam. Foto FAREEZ FADZIL, 28 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperkenalkan Pengiktirafan Muzakki (IKTIRAF) sebagai tanda penghargaan kepada para muzakki atau pengeluar zakat di negeri itu yang bersama-sama menyantuni golongan asnaf melalui komitmen menunaikan zakat perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saipolyazan M. Yusof berkata, sebagai permulaan, sebanyak 34 syarikat korporat menerima penghargaan IKTIRAF Berlian kerana menjadi muzakki yang menunaikan zakat perniagaan melebihi RM1 juta bersama LZS, sekali gus memastikan kelangsungan pengagihan zakat di Selangor.

Menurut beliau, penghargaan IKTIRAF itu turut melibatkan  tiga kategori lain iaitu IKTIRAF Emas kepada muzakki yang menunaikan zakat di antara RM500,000 hingga RM999,999.

“IKTIRAF Perak pula merupakan penghargaan kepada muzakki yang menunaikan zakat antara di antara RM100,000 hingga RM499,999 manakala penghargaan IKTIRAF Gangsa diberikan kepada muzakki yang menunaikan zakat antara RM50,000 hingga RM99,999,” katanya.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (tengah) diiringi Pengerusi Lembaga Zakat Selangor, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail (kiri) menyerahkan plak pengiktirafan muzakki kepada wakil Lembaga Tabung Haji pada Majlis Pengiktirafan Muzakki LZS di PKPS, Shah Alam. Foto FAREEZ FADZIL, 28 DISEMBER 2021.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Muzakki di Wisma PKPS di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.

Saipolyazan menambah, penggiktirafan kepada para 34 muzakki di di bawah IKTIRAF Berlian itu bukan sahaja menunjukkan syarikat-syarikat tersebut telah berjaya menunaikan jumlah zakat melebihi angka RM1 juta

Malah jelas beliau, ada syarikat yang konsisten menambahkan jumlah bayaran zakat mereka.

“Ini menunjukkan bahawa para muzakki dan perniagaan mereka bertambah maju serta berkembang walaupun dalam keadaan pandemik yang melanda.

“Semoga ini akan dapat menjadi contoh dan pemangkin kepada syarikat-syarikat yang lain untuk tampil sebagai pengeluar zakat dan sekaligus memenuhi tuntutan kewajipan di sisi Islam ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan Mat Yusop berucap pada Majlis Pengiktirafan Muzakki LZS di PKPS, Shah Alam. Foto FAREEZ FADZIL, 28 DISEMBER 2021.

Sementara itu, Saipolyazan turut memberitahu, tiga syarikat yang merupakan pengeluar zakat di LZS telah menyatakan persetujuan menyumbangkan semula sebahagian wang daripada wakalah agihan pendapatan zakat kepada program Kasihku Zakat Selangor melibatkan jumlah agihan semula sebanyak RM314,000.

Syarikat tersebut adalah Central Sugar Refinery Sdn . Bhd. yang menyumbangkan semula wang zakat sebanyak RM279,000 bagi membina tiga buah rumah untuk asnaf fakir dan miskin di Selangor .

Selain itu, CGS -CIMB Securities Sdn. Bhd. pula menyerahkan sumbangan sebanyak RM24,000 bagi program Back To School kepada 80 orang pelajar asnaf dan CELCOM Axiata Berhad menyumbangkan semula wang zakat sebanyak RM11,000 bagi pembelian tablet berserta data internet dan pembiayaan tuisyen kepada 15 orang pelajar asnaf yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ).

Sebelum ini, LZS telah memperkenalkan program ‘Kasihku Zakat Selangor bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang meningkat.

Untuk rekod, pada tahun ini sebanyak 25 penyertaan dari syarikat dan individu yang menyertai program Kasihku Zakat Selangor dengan nilai agihan semula melebihi RM3 juta. – MalaysiaGazette