Hulu Langat The residents of Kampung Jawa, Hulu Langat, Selangor cleaning their mud-covered house after the big flood. PIX: AMIRUL SHAUFIQ / MalaysiaGazette / 28 DECEMBER 2021
The residents of Kampung Jawa, Hulu Langat, Selangor cleaning their mud-covered house after the big flood. PIX: AMIRUL SHAUFIQ / MalaysiaGazette / 28 DECEMBER 2021. Penduduk melakukan kerja-kerja membersihkan tingkap rumah yang kotor akibat diselaputi lumpur selepas kediaman mereka ditenggelami banjir ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Jawa, Hulu Langat, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 DISEMBER 2021.

HULU LANGAT – Penduduk setempat di daerah ini yang terjejas akibat banjir minggu lalu bukan sahaja diselubungi kebimbangan, malah trauma sekiranya bencana alam itu berulang kembali.

Rata-rata penduduk yang ditemui MalaysiaGazette berkongsikan perasaan trauma mereka sekiranya berlaku hujan lebat, sehingga ada yang sukar melelapkan mata.

Dalam masa sama, mereka turut meluahkan rasa keletihan melampau gara-gara membersihkan kawasan sekitar rumah dan mencuci lantai kesan daripada lumpur yang tebal.

Seorang penduduk, Hafiz Abdul Kadir, 43, tidak menyangka rumah yang baru disewa olehnya kira-kira sebulan lalu itu tenggelam akibat banjir.

Jelas Hafiz, sebelum ini dia bersama isteri dan empat anak menetap di Jalan Genting Klang sebelum berpindah ke Kampung Jawa, di sini.

Hafiz Abdul Kadir. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 DISEMBER 2021.

“Masih lagi trauma kerana keadaan paras air menunjukkan trend peningkatan jadi memang kena berhati-hati, lagipun amaran dah keluar.

“Penduduk pun kena sentiasa berwaspada lebih-lebih lagi dengan adanya kemungkinan gelombang kedua banjir.

“Tapi kita harap ianya takkan terjadi lagi peristiwa sama dan pihak berwajib tolonglah tengok apa yang patut seperti sistem perparitan atau sungai yang terjejas, kita minta supaya ada pemantauan kerana (banjir) kali ini menyebabkan banyak nyawa yang terkorban,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Hafiz lagi, berdasarkan pengalaman penduduk yang sudah lama menetap di kampung itu, banjir yang berlaku baru-baru ini merupakan kejadian paling buruk dalam masa 40 tahun.

Sementara itu, seorang suri rumah, Rosni Mohamad, 36, berkata, setiap kali terdengar bunyi hujan, dia akan mula merasa gelisah dan khuatir akan keselamatan dua anaknya.

Rosni Mohamad. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 DISEMBER 2021.

“Memang kena siap sedia setiap kali hujan lebat, kalau sehari masih okay tapi bila sudah masuk hari kedua atau ketiga mungkin akan trauma terutamanya waktu malam.

“Nasib kami baik kerana dikejutkan oleh jiran sebelah kerana ketika kejadian saya bersama anak-anak sedang tidur, kalau tidak saya sendiri tidak pasti dengan nasib kami anak beranak,” ujarnya.

Bagaimanapun, menurut Rosni, dia amat bersyukur kerana masih terselamat daripada bencana yang berlaku walaupun kesemua perabot di dalam rumahnya rosak.

“Nak buat macam mana sudah ditentukan nasib kami sebegini, dah selamat nyawa pun bersyukur, barang rumah ini bila ada duit barulah kita beli sedikit demi sedikit,” katanya yang sudah menetap di kampung itu sejak tujuh tahun lalu.

Mohd Riffin Arsat. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 DISEMBER 2021.

Sementara itu, seorang penduduk dari Batu 15 1/4, Dusun Tua di sini, Mohd Riffin Arsat, 59, tidak menyangka musibah yang berlaku begitu pantas baru-baru ini telah meranapkan rumah miliknya.

Mohd Riffin yang masih trauma, ibarat hidup dalam ketakutan ketika ini gara-gara melihat rumah yang didiami lebih 31 tahun itu hampir separuh daripada strukturnya sudah menyembah bumi.

Keadaan rumah milik Mohd Riffin yang roboh selepas dilanda banjir ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Batu 15 1/4, Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 DISEMBER 2021.

“Memang trauma betul, takut perkara sama berulang, ada berita akan ada banjir sekali lagi, memang takut untuk penduduk di sini.

“Kalau boleh biarlah ada amaran awal supaya semua penduduk dapat terima maklumat yang sebenar.

“Walaupun hati saya hancur tengok keadaan rumah, apa boleh buat kena terima qadak dan qadar kerana ini sudah suratan takdir,” katanya yang menumpang di rumah saudara di Ampang buat sementara waktu.

Terdahulu, antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir di daerah ini lewat malam Sabtu lalu ialah Batu 25, Sungai Lui; Batu 16; Batu 17; Batu 18; Kampung Sungai Serai serta Taman Sri Nanding. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast