Foto: Facebook

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat Asisten Superintendan meninggal dunia dalam kemalangan yang membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di Saujana Utama, di sini, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, mangsa dikenalpasti sebagai Asisten Superintendan Norhasnizam Hamzah bertugas di Bahagian Perundangan/Siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak yang masih kecil selepas maut dalam kemalangan di sungai Buloh pagi tadi.gambar ihsan Facebook

“Dalam kejadian pagi tadi (10.45 pagi), kami menerima makluman daripada Pusat Komuniti Digital (DCC) Sungai Buloh satu kemalangan maut telah berlaku di Jalan Persiaran Shorea Saujana Utama melibatkan Pegawai Kanan Polis.

“Siasatan pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Fahmi Shamsuddin yang bergegas ke lokasi kemalangan pada awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa telah menunggang motosikal Yamaha Y15ZR datang dari arah Saujana Utama menghala ke Jalan Kuala Selangor manakala sebuah kereta Perodua Bezza datang dari arah Jalan Kuala Selangor menghala Saujana Utama.

“Sampai di tempat kejadian Perodua Bezza masuk ke simpang kanan ke arah Kilang Fong Yi Trading (M) Sdn Bhd.

“Kebetulannya motosikal yang ditunggangi mangsa yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian pintu hadapan sebelah kiri Bezza yang dipandu seorang wanita berusia 36 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pelanggaran itu mengakibatkan bahagian coverset hadapan motosikal Yamaha yang ditunggang mangsa pecah sebelum mangsa terjatuh atas jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Menurut Shafa’aton, Norhasnizam berusia 40 tahun dan berasal dari Seri Pristana, Sungai Buloh dan difahamkan mempunyai tiga orang anak.

Wara kerja PDRM dari JSJN Bukit Aman turut merakamkan takziah kepada keluarga allahyarham menerusi Facebook.

Sementara itu, beliau memberotahu, pemandu Perodua Bezza yang merupakan seorang suri rumah tempatan berusia 36 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kKes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette