Norliza Abdul Rahim, (kiri) bersama , Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Sr Mohd. Salem Kailany menyantuni keluarga yang terkandas di Jalan Sepakat Kampung Parit Mahang, Jeram, Selangor baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Naluri seorang ibu Datuk Norliza Abdul Rahim tersentuh apabila melihat kesusahan mangsa banjir terutamanya kanak-kanak.

Baru-baru ini ketika menghantar bantuan kepada penduduk yang terkandas di Klang, beliau tersentuh melihat seorang kanak-kanak mangsa banjir yang tidur tanpa berbaju di pusat pemindahan banjir.

“Sebak dan tersentuh hati nurani saya, dalam kesibukan mengagihkan toto untuk kegunaan mangsa banjir hasil sumbangan UDA Holdings Berhad di Kapar terlihat tubuh anak kecil yang sedang lena tidur tanpa baju.

“Terasa dan terkesan di hati saya sebagai seorang ibu, betapa di kecil ini terpaksa mengharungi suasana cemas sewaktu rumah ibu bapanya dinaiki air baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan di media sosialnya baru-baru ini.

Norliza yang juga Pengerusi UDA berkata, pihaknya terusĀ  menghulurkan bantuan kepada komuniti terkesan banjir di seluruh Malaysia dengan menyalurkan sumbangan tambahan berjumlah RM85,000 berupa barangan keperluan asas seperti toto dan makanan.

“UDA mengambil langkah proaktif dengan menggerakkan bantuan ke beberapa buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Selangor iaitu di Klang, Kuala Selangor, Kapar dan Kota Raja, pada 23 Disember lalu.

Ketika dalam perjalanan menghantar bantuan ke Kuala Selangor, UDA turut berkesempatan menyantuni tiga keluarga yang terkandas di Jalan Sepakat, Kampung Parit Mahang, Jeram.

Sebelum itu, UDA bersama-sama MEDAC turut mendekati mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Jalil di Hulu Langat dekat sini bagi memberikan bantuan.

UDA turut menjelajah ke wilayah perniagaannya di Negeri Sembilan dengan menyalurkan sumbangan keperluan seperti toto kepada mangsa bencana banjir di Port Dickson dan Jelebu pada 24 Disember lalu.

“Kami juga menyerahkan bakul makanan di wilayah timur iaitu di Kuala Terengganu dan sebanyak 500 toto juga bakal diedarkan kepada mangsa banjir di sekitar Pahang dalam masa terdekat, katanya dalam satu kenyataan.

“UDA telah menyalurkan bantuan bernilai RM50,000 pada hujung minggu lalu menjadikan jumlah sumbangan terkumpul setakat hari ini ialah RM135,000,” katanya.

UDA bersama anak syarikat AnCasa Hotels & Resorts juga memulakan misi bantuan banjir dengan menyumbangkan 1,000 pek makanan ke PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Serai serta 600 bakul makanan ke beberapa buah PPS di Seremban, Dengkil, Shah Alam, Gombak dan Kuala Langat.

Selain itu, UDA menerusi anak syarikat UDA Dayaurus Sdn Bhd turut membersihkan rumah-rumah yang terjejas akibat banjir di sekitar kawasan Kuala Langat.

UDA menerusi Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan, Bahagian Modal Insan Kumpulan, Badan Kebajikan Kakitangan UDA (BKKU) serta Badan Didikan Islam UDA (BADIM) turut membantu kakitangan yang terkesan.

Mereka diberikan cuti khas, bantuan kewangan, makanan, barang keperluan serta sukarelawan bagi membantu membersihkan kediaman.- MalaysiaGazette