Wee Ka Siong mempengurusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor petang tadi di sini hari ini bagi membincangkan persediaan menghadapi gelombang ke dua banjir di Johor.

JOHOR BAHRU – MCA Johor menubuhkan jawatankuasa pengurusan banjir sebagai persediaan menghadapi banjir berikutan fenomena Luruan Monsun yang mengakibatkan hujan berterusan bermula esok sehingga 3 Januari depan.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, seramai 650 sukarelawan MCA Johor dan pasukan bomba sukarela akan digerakkan bagi membantu mangsa banjir.

“MCA negeri Johor telah menubuhkan satu jawatankuasa pengurusan bencana banjir dan kita juga akan meletakkan beberapa orang mengikut kumpulan itu nanti.

“Dalam perbincangan selama dua jam itu tadi kita telah bersetuju, ianya akan dipecahkan berapa kumpulan untuk membersihkan kawasan seperti sekolah dan kawasan terlibat kelak.

“Sukarelawan kita di Taman Seri Muda juga telah pulang membantu mangsa-mangsa di sana dan saya telah arahkan mereka perlu balik untuk bersedia pula di Johor dan bertahan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan gelombang kedua di negeri kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengurusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor, di sini, hari ini.

Selain itu katanya, MCA turut memastikan aset sedia ada berada dalam keadaan baik dan bekalan makanan akan menjadi fokus sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

Jawatankuasa Pengurusan Banjir MCA Johor itu turut terlibat memberi bantuan pasca banjir yang meliputi bantuan pembersihan kediaman dan tempat awam di Mentakab dan Bentong, Pahang. – MalaysiaGazette