Balai Polis bergerak untuk keselesaan penduduk di Taman TSri Muda Seksyen 25 Shah Alam untuk membuat aduan berkenaan kerosakan banjir sehingga 12 Januari 2022 yang disediakan oleh IPD Shah Alam.Ihsan IPD Shah Alam.

KUALA LUMPUR – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerima 15,899 laporan berkaitan banjir setakat hari ini.

Ketua Polisnya, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, laporan tersebut membabitkan kerugian dan kerosakan harta benda yang berlaku kesan daripada banjir.

“IPD Shah Alam juga telah mengambil tindakan proaktif bagi mengurangkan bilangan orang awam yang hadir untuk buat laporan polis berkaitan banjir di balai polis dalam pentadbiran kami.

“Bagi tujuan mengurangkan kapasiti kehadiran agak besar ke balai, kami telah menyediakan kemudahan dua buah balai polis bergerak yang akan ditempatkan di lapan lokasi secara bergilir-gilir atau mobile dari jam 8.30 pagi hingga 1130 malam setiap hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, Balai Polis Bergerak dalam bentuk bas mini itu akan beroperasi bermula hari ini hingga 12 Januari depan di beberapa lokasi tumpuan yang ditetapkan setiap hari.

Menurut Baharudin, Balai Polis Bergerak itu akan berada di Flat Valencia bermula jam 8.30 pagi hingga 11.30 pagi sebelum dipindahkan ke Flat Mediterranean untuk kemudahan mangsa banjir di sana antara jam 12.30 tengahari hingga 3.30 petang.

“Kemudian balai bergerak itu akan berada di perumahan Apartment Aurora dari jam 4.30 petang hingga 7.30 malam selepas itu akan bergerak ke Pangsapuri Damai untuk khidmat penduduk di situ bermula 8.30 malam hingga 11.30 malam.

“Kemudian, balai bergerak itu akan berada di GT Max Kedai Motosikal Seksyen 25 dari 8.30 pagi hingga 11.30 pagi dan kemudian akan menawarkan perkhidmatan di hadapan Bank Simpanan Nasional Seksyen 25 daripada jam 12.30 tengahari hingga 3.30 petang.

“Kemudian balai berkenaan akan berada di hadapan Public Bank Seksyen 25 bermula 4.30 petang hingga 7.30 malam sebelum akan beroperasi di hadapan Petron Seksyen 25 bermula 8.30 malam hingga 11.30 malam untuk kemudahan aduan penduduk di kawasan itu,” ujarnya.

Pada masa yang sama juga, tambah beliau, sebanyak dua buah kenderaan polis Mobile Patrol Vehicle (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan digerakkan khusus di kawasan Seksyen 25 bagi memudahkan mangsa yang tidak mempunyai kenderaan untuk membuat laporan polis.

“Ia secara tidak langsung akan mengurangkan jumlah mangsa ke Balai Polis untuk membuat laporan berkaitan banjir.

“IPD Shah Alam sentiasa peka dan prihatin dalam membantu mangsa banjir untuk mempermudahkan lagi urusan membuat laporan polis.

“Justeru warga Shah Alam yang menjadi mangsa banjir, boleh buat laporan polis di Balai Bergerak dan juga dengan bantuan MPV/URB di lokasi mereka berada,” ujar beliau. – MalaysiaGazette