UEFA. sumber foto: Reuters

LONDON – Laporan terkini bola sepak mendakwa ada bos geng mafia cuba merasuah pengadil Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dalam menentukan keputusan perlawanan bola sepak.

Akhbar tabloid terkemuka England The Sun mendakwa ada perasuah cuba menggunakan taktik jenayah siber yang tidak pernah berlaku sebelum ini untuk memberi suapan kepada pengadil.

“Tetapi kali ini taktik berkenaan digunakan kumpulan tertentu dengan cuba merasuah pengadil UEFA untuk menentukan keputusan bola sepak peringkat Eropah.

“Situasi itu dipengaruhi oleh pandemik Covid-19 yang menjejaskan kebanyakan liga di benua Eropah yang mana penjenayah siber terlibat secara agresif melakukan jenayah mereka,” dedah Agensi Penguat Kuasa Undang-Undang Kesatuan Eropah (Europol).

Laporan juga menambah geng mafia yang terlibat dalam jenayah berkenaan berpusat di Asia.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada pengadil liga Inggeris turut disasarkan geng mafia berkenaan bagaimanapun memo berkenaan dihantar dalam bahasa Inggeris.

UEFA mengendalikan tiga kejohanan bola sepak di benua Eropah iaitu Liga Juara-Juara Eropah, Liga Europa dan Liga Persidangan Europa.

Ketiga-tiga kejohanan berprestij itu dikendalikan oleh pengadil-pengadil yang berasal dari benua Eropah. -Dailymail.com