Azman melakukan pemantauan harga bahan mentah di bawah SHMKM di Pasar Raya Mydin di Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Empat bahan mentah di Semenanjung mengalami penurunan harga menerusi Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) berkuat kuasa esok.

Barangan tersebut adalah ayam mentah, telur, sayur sawi serta kacang panjang.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNHEP), Azman Adam berkata, penurunan harga itu akan mengikut lokaliti serta situasi semasa bagi memastikan pengguna menikmati pembelian pada harga berpatutan.

Azman.

“SHMKM dilaksanakan bagi memastikan keberadaan barangan tersebut dalam pasaran serta harga yang bersesuaian mengikut situasi dan faktor tertentu.

“Jadi bagi Semenajung, penurunan harga empat bahan mentah itu akan berkuat kuasa esok.

“Untuk makluman, harga maksimum sekilogram ayam kini RM9.30 dan ia akan turun kepada RM9.10 bermula esok.

“Selain ayam, telur sayur sawi serta kacang panjang juga akan mengalami penurunan harga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemantauan harga Ops Back To School dan SHMKM di Pasar Raya Mydin di sini, hari ini.

Harga ayam mentah di Semenanjung akan mengalami penurunan harga bermula esok.

Tambah Azman, pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran berhubung penurunan harga barang mentah sebaliknya mengikut trend pasaran terkini.

“Kita ikut trend pasaran terkini bagi memastikan barangan tersebut tidak naik lagi dalam tempoh SHMKM.

Selasa lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang dijadualkan berakhir Jumaat ini (31 Disember), dilanjutkan selama 35 hari lagi berkuat kuasa 1 Januari hingga 4 Februari tahun depan.

Beliau berkata, jumlah barangan harga terkawal bagi pelaksanaan SHMKM itu adalah sama iaitu melibatkan 12 jenis barangan makanan keperluan asas dari kategori ayam, telur ayam dan sayur-sayuran. – MalaysiaGazette

Zakat LZS

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast