MRSM Muar bully case MARA Junior Science College
Kertas siasatan kes buli pelajar MRSM Muar telah dihantar ke Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Bukit Aman.

JOHOR BAHRU – Kertas siasatan kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar baru-baru ini telah diserahkan kepada Bahagian Pendakwaan dan Undang-​Undang (D5) Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, pihaknya kini menunggu arahan lanjut dari Bukit Aman.

“Setakat ini masih tiada sebarang tindakan pertuduhan dikenakan terhadap mereka selepas tamat tempoh reman,” katanya selepas majlis pelancaran Santai Cycle Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Johor 2021 di IPK Johor di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan isterinya yang juga Pengerusi Perkep Johor, Datin Zalena Mohd Ariffin.

Pada 16 Disember lalu, media melaporkan lima pelajar maktab tersebut direman bagi membantu siasatan kejadian buli terhadap seorang mangsa berusia 14 tahun yang mengalami bengkak di rusuk kiri.

Kelima-lima mereka sebelum itu ditahan di sekitar Kuala Sungai Baru, Melaka; Kajang, Selangor; Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Bagaimanapun jelas Zaharudin, siasatan hanya dijalankan terhadap lima pelajar berkenaan dan tidak melibatkan individu atau pelajar lain.

“Lima pelajar tersebut merupakan wakil pelajar yang dilantik pihak sekolah dan kejadian dipercayai berpunca akibat ketidakpuasan hati antara suspek dan mangsa” ujarnya.

Sementara itu, Zaharudin berkata, beliau tidak dapat mengesahkan tindakan yang diambil MRSM berikutan cuti. – MalaysiaGazette