MELAKA – Kemunculan tahun baharu awal pagi tadi membawa padah kepada 75 individu apabila dikompaun sebanyak RM74,500 kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika menyambut sambutan itu di sebuah pusat hiburan di Kota Syahbandar, di sini.

Mereka dikompaun dalam serbuan Op Tahun Baharu pada jam 1.30 pagi yang dijalankan sepasukan anggota serta pegawai Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam operasi terbabit, seramai 222 pengunjung diperiksa membabitkan 133 lelaki dan 89 wanita.

“Hasilnya, seramai 75 individu berusia antara 20 dan 50 tahun dikompaun atas kesalahan gagal mematuhi SOP seperti tiada penjarakan fizikal, tidak mengimbas aplikasi My Sejahtera dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

“Selain itu seramai 18 wanita warga Vietnam berusia 24 hingga 35 tahun ditahan atas kesalahan menyalahguna pas lawatan sosial dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO),” katanya ketika ditemui pada operasi malam tadi.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Op Ambang Tahun Baru membabitkan sepasukan 32 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bermula jam 10 malam hingga 4 pagi.

Operasi turut dibantu sembilan pegawai penguatkuasaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan dua kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN). – MalaysiaGazette