KUANTAN – Sebagai persiapan mengahadapi gelombang kedua, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKMN) Pahang menambah bekalan keperluan makanan di pengakalan hadapan sekali ganda daripada sebelum ini.
Pengarah JKMN Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata pihaknya juga menyediakan khidmat kanseling oleh 102 kaunselor bertauliah kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara PPS di negeri ini.
“JKM Pahang menambah keperluan barangan makanan bagi menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir dan menyediakan perkhidmatan kaunseling untuk mangsa bencana banjir.
“Bekalan tambahan ini sebagai persediaan menghadapi kemungkinan ramalan hujan lebat pada sejak akhir Disember lalu hingga awal bulan ini.
“Perkhidmatan kaunseling pula penting memandangkan ramai mangsa banjir masih trauma serta sesi kaunseling secara lawatan bergerak ke rumah mangsa turut disediakan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Dalam pada itu, kakitangan JKM turut melawat semua pangkalan hadapan bagi melihat keperluan asas yang masih ada disimpan dan menghantar bekalan tambahan.
“Sekiranya tidak mencukupi, tambahan akan dilakukan segera membabitkan barangan makanan asas.
“Pegawai JKM daerah termasuk sukarelawan daripada jabatan diarahkan supaya bersiap sedia memberi bantuan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini,” jelasnya.
Pihaknya juga menjalinkan kerjasama dengan agensi keselamatan antaranya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam melancarkan operasi menyelamat.
“Kita juga bersiap sedia membuka semula pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya keadaan memerlukan dan segeralah berpindah ke PPS berhampiran apabila hujan berterusan.
Terdahulu Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan lebat berterusan bermula 30 Disember hingga 2 Januari 2022 di negeri ini berkemungkinan mendepani banjir gelombang ke dua.
Secara keseluruhan perkembangan semasa banjir di Pahang masih ada 570 mangsa banjir ditempatkan di 24 PPS melibatkan 155 keluarga. – MalaysiaGazette















