Keadaan rumah berhala di Kampung Lubok Batu dekat Segamat yang sudah dinaiki air.
JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Segamat dan Tangkak meningkat daripada 658 orang pada tengah hari kepada 1,080 orang setakat jam 4 petang tadi.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, kesemua mangsa membabitkan 271 keluarga itu ditempatkan di 19 pusat pemindahan sementara (PPS).
Tangkak menjadi daerah terbaharu yang terjejas banjir apabila seramai 17 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Agama Bandar Tangkak yang dibuka pada jam 2 petang.
PPS Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tenang merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi seramai 267 orang daripada 73 keluarga diikuti SK Batu Anam seramai 256 mangsa daripada 73 keluarga.
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ai Chun menempatkan 169 mangsa daripada 38 keluarga dan SJKC Tah Kang seramai 164 mangsa daripada 33 keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Sungai Segamat di Bandar Segamat, Sungai Muar Kampung Awat Segamat dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur pula berada pada paras bahaya setakat jam 3.15 petang pada Sabtu.
Sungai Segamat di Bandar Segamat mencatat paras 9.64 meter berbanding aras bahaya 9.14 meter manakala Sungai Muar Kampung Awat Segamat pula mencatatkan paras 20.95 meter berbanding paras bahaya 19.95 meter.
Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur juga mencatatkan paras 4.32m berbanding paras bahaya 4.00 meter.
Sementara itu,tinjauan Malaysia Gazette di Kampung Lubok Batu mendapati, kawasan sekitar seperti di rumah berhala Fook Poon Thong juga terjejas akibat banjir yang melanda daerah itu sejak semalam.
Ketika kejadian kira-kira 10 individu berada di rumah agama berkenaan dan mereka  tidak dapat keluar dari kawasan terlibat disebabkan paras air naik dengan cepat.
Chandran Many
Menurut penduduk, Chandran Many paras air naik secara tiba-tiba memcecah ke paras pinggang menyukarkan mereka yang berada di dalam rumah berhala untuk keluar.
Kejadian kira-kira 5 petang tadi menyebabkan mereka yang terkandas terpaksa dikeluarkan dengan bot kecil dan sampan.
“Sekejap betul air naik, kalau hujan tidak berhenti air mungkin boleh naik lagi sampai tingkap.
“Ini merupakan paling teruk sejak empat tahun lalu,”katanya ketika ditemui MalaysiaGazette
MalaysiaGazette difahamkan paras air di rumah berhala  kawasan Kampung Lubok Batu itu mudah dinaiki air kerana  kedudukanya berhampiran Sungai Segamat. – MalaysiaGazete