nasi kandar Ipoh helicopter Ebit Lew sexual harassment Abd Jalil Hassan CCID commercial crime online gambling syndicates Op Dadu Khas
Abd Jalil Hassan

KUALA LUMPUR – Polis Kontinjen Kuala Lumpur menyerbu sebanyak 1,528 kedai judi online sepanjang tahun lalu dengan jumlah tangkapan seramai 2,933 individu.

Sebanyak 779 serbuan berjaya dijalankan pada 2020

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 749 serbuan atau 96 peratus bagi tempoh Januari sehingga Disember.

Kata beliau, tangkapan yang dibuat adalah di bawah akta berkaitan judi online, pusat panggilan, loteri haram tanpa lesen, judi bookie dan judi di tempat bebas atau dalam bangunan.

Jelasnya, pada tahun 2020, seramai 2,051 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dengan kejayaan tangkapan menunjukkan peningkatan sehingga 43 peratus.

“Bagi rampasan wang tunai, sebanyak RM1,128,544 juta dirampas sepanjang tahun lalu berbanding tahun 2020 iaitu sejumlah RM637,563 (peningkatan 77 peratus).

“Manakala sebanyak 1,528 kertas siasatan dibuka dengan 1,142 daripadanya telah dituduh tahun lalu berbanding 779 kertas siasatan sahaja pada tahun 2020 (peningkatan 72 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pada tahun 2020, seramai 162 individu diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) manakala tahun lalu seramai 20 individu.

Abd Jalil menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa mengambil maklum segala pandangan yang disuarakan oleh pelbagai pihak dan akan melipatgandakan usaha untuk memastikan kemelut judi dapat dibendung dengan berkesan.

“PDRM amat komited dalam menangani judi online di dalam negara dan memandang berat kenyataan pelbagai pihak yang mempertikaikan kesungguhan serta keberkesanan tindakan pasukan dalam menangani gejala itu.

“Usaha untuk membendung kemelut perjudian ini akan dipertingkatkan melalui kerjasama dan tindakan bersepadu dengan pihak berkuasa tempatan, Tenaga Nasional Berhad, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, jabatan agama islam serta badan bukan kerajaan yang masing-masing mempunyai peranan penting dalam menangani isu ini,” ujarnya.

Jelas beliau, PDRM amat serius dalam usaha membanteras sindiket perjudian online agar tidak beroperasi semula.

“Justeru, kerjasama dari orang awam dalam menyalurkan maklumat amatlah dialu-alukan agar isu ini dapat ditangani dari akar umbi,” katanya. – MalaysiaGazette