Situasi banjir di Segamat, Johor hari ini.

JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di Johor melibatkan daerah Segamat dan Tangkak terus meningkat kepada 1,646 pada pukul 8 pagi hari ini berbanding 1,522 sebelum itu.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R. Vidyananthan memberitahu, jumlah itu melibatkan 425 keluarga yang kini ditempatkan di 28 pusat pemindahan sementara (PPS).

Sebanyak 27 daripada PPS tersebut adalah Segamat. Mangsa banjir paling ramai berjumlah 274 orang daripada 70 keluarga di PPS di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tah Kang diikuti 267 orang (73 keluarga) di PPS di Sekolah kebangsaan (SK) Kampung Tenang, Labis.

Selain itu, 211 orang (53 keluarga) di PPS di Dewan Serbaguna Logah manakala hanya sebuah PPS dibuka di Tangkak yang menempatkan 31 orang (tujuh keluarga) di Sekolah Agama (SA) Bandar Tangkak sementara satu PPS ditutup di Segamat pada jam 8.30 malam Sabtu iaitu di Balai Raya Kampung Sermin, Kampung Sermin katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, Sungai Segamat dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur dilaporkan berada pada paras bahaya setakat pukul 8 pagi tadi.

“Sungai Segamat di Bandar Segamat berada di paras 9.45 meter (m) berbanding aras bahaya 9.14m manakala Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur berada di paras 4.17m berbanding paras bahaya 4.00m,” ujarnya.

Selain itu, katanya, empat jalan ditutup dan terputus hubungan iaitu Jalan ke Kampung Orang Asli Peta dinaiki air kira-kira satu meter dan Jalan ke Kampung Orang Asli Punan (0.5m)

Ia turut melibatkan Jalan Bangas di Kampung Simpang Loi ( 0.6 M); Jalan Putting ke Kampung Putting (1.0 M) manakala Jalan Jabi Kampung Bukit Tempurung ke Kampung Bukit Tempurung (0.6 M) yang dibuka untuk kenderaan berat sahaja.

Jalan Kuala Paya Balai Badang ke Kampung Balai Badang (0.2); Jalan Tungku Tiga ke Kampung Tungku Tiga (0.1 M); Jalan Felda Pemanis di Jalan Utama Felda Pemanis dan Jalan Felda Medoi ke Surau Kampung Padang Lalang (0.1 M) masih dibuka untuk semua kenderaan, katanya. -MalaysiaGazette