Bagi institusi pendidikan yang selesai dibersihkan daripada kesan banjir dan bersedia untuk kembali beroperasi, ia akan bermula pada Ahad atau Isnin minggu persekolahan berikutnya.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bagi institusi pendidikan yang selesai dibersihkan daripada kesan banjir dan bersedia untuk kembali beroperasi, ia akan bermula pada Ahad atau Isnin minggu persekolahan berikutnya.

Institusi pendidikan bawah KPM adalah merujuk kepada sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru.

Ia juga terpakai kepada sekolah swasta yang berdaftar bawah Kementerian Pendidikan (KPM), kata satu kenyataannya hari ini.

Setakat hari ini, 18 institusi pendidikan melibatkan 16 sekolah rendah dan dua sekolah menengah masih dinaiki air.

“87 institusi pendidikan masih dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan lapan institusi pendidikan yang telah terkesan akibat banjir dan belum bersedia untuk beroperasi,” kata kenyataan yang sama.

Berdasarkan kenyataan media KPM sebelum ini, tarikh permulaan sesi persekolahan bagi Penggal 3, 2021/2022 adalah pada 9 Januari ini bagi negeri Kumpulan A dan 10 Januari bagi negeri
Kumpulan B.

“Namun demikian, bagi institusi pendidikan bawah KPM yang terkesan akibat banjir pengoperasian hanya akan bermula setelah institusi pendidikan terlibat sedia untuk beroperasi.

KPM akan terus memantau dan mengemas kini pada setiap hari Rabu senarai institusi pendidikan yang dilanda banjir atau yang dijadikan sebagai PPS.

Perubahan senarai yang dikeluarkan oleh KPM adalah tertakluk kepada situasi semasa bencana banjir.

Justeru, kata kenyataan itu, mungkin terdapat pertambahan atau pengurangan bilangan institusi pada setiap minggu.

Senarai ini boleh diakses melalui laman sesawang KPM
https://www.moe.gov.my/. – MalaysiaGazette