KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu wang RM25.3 juta yang disalurkan ke dalam akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan sumbangan politik, sebaliknya sebagai balasan terhadap tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin membantu empat syarikat mendapatkan projek Janawibawa.
Ketua Penolong Pesuruhjaya, Mazery Mohd. Zaini, 42, berkata, wang itu diberikan oleh Nepturis Sdn. Bhd., Sutracom Sdn. Bhd., KCJ Engineering, Mamfor Sdn Bhd dan ahli perniagaan, Datuk Seri Azman Yusoff manakala transaksi dilakukan mulai 22 September 2021 hingga 22 November 2022.
Beliau yang juga pegawai penyiasat kes Janawibawa berkata, berdasarkan siasatan terhadap empat buah syarikat, semua surat permohonan projek dihantar kepada Muhyiddin yang ketika itu perdana menteri dan wang dimasukkan ke dalam akaun Bersatu yang mana tertuduh adalah pengawal akaun berkenaan.
Mazery yang kini Ketua Cawangan Siasatan B, Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, berkata, semakan terhadap akaun-akaun Bersatu menunjukkan individu dan syarikat yang berjaya mendapat projek Janawibawa telah memasukkan wang ke dalam akaun parti yang dikawal oleh Muhyiddin.
“Saya mendapati saksi syarikat berjaya menerima projek yang dimohon dan tiada sebab untuk mereka mengada-adakan keterangan ke atas Tan Sri Muhyiddin.
“Saya juga tidak menemukan apa-apa resit penerimaan sumbangan yang diberikan kepada Bersatu,” ujarnya ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes Janawibawa melibatkan bekas perdana menteri yang juga Presiden Bersatu.
Mazery selanjutnya berkata, fakta bahawa syarikat-syarikat itu memperoleh projek yang dimohon, sama seperti surat yang dikemukakan kepada Presiden Bersatu, menunjukkan ia bukan satu kebetulan.
Menurut beliau, keadaan mungkin berbeza apabila wang yang dikatakan sebagai sumbangan, tetap dibuat walaupun syarikat tidak memperoleh projek.
“Sumbangan sebenarnya berbentuk upah, bukan derma bona fide (niat baik),” ujar Mazery.
Katanya, selain itu, keadaan mungkin berlainan jika sumbangan dibuat oleh syarikat sebelum mereka menghantar surat permohonan.
“Wang berjumlah RM25.3 juta itu dimasukkan bertentangan dengan konsep derma tetapi lebih kepada konsep balasan,” ujarnya dalam pernyataan saksi.
Menurut saksi, tertuduh meletak jawatan pada 20 Ogos 2021, namun tiada arahan agar proses perolehan bagi permohonan KCJ, Nepturis dan Sutracom, ditangguh atau dibatalkan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin bersambung esok.
Muhyiddin, 79, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Program Janawibawa daripada empat syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering serta Azman bagi parti politik berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022. – MalaysiaGazette
















