Kerja-kerja pembaikan dan pengukuhan ban oleh JPS sedang giat dijalankan. Foto JBPM Selangor

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) hari ini giat menjalankan kerja-kerja pembaikan dan pengukuhan ban Sungai Langat.

Menerusi satu kenyataan, JPS memaklumkan, sebanyak empat jentera digerakkan di setiap lokasi bagi kerja pembaikan itu.

“Susulan hujan berterusan yang dilaporkan semalam telah berlaku kejadian limpahan air Sungai Langat di atas ban sungai yang menyebabkan hakisan ban kira-kira tiga hingga empat meter lebar pada pukul 10.00 pagi tadi di Kampung Labohan Dagang dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bukit Changgang.

“JPS telah menggerakkan sebanyak empat jentera di setiap lokasi bagi kerja-kerja pembaikan dan pembaikan ban telah siap dibaiki sepenuhnya di Kampung Labohan Dagang manakala di RTB Bukit Changgang dijangka siap dibaiki petang ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, JPS berkata, sehingga kini, limpahan air Sungai Langat di kawasan jajaran Sungai Langat terkawal.

Justeru, JPS meminta supaya penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.

“Sila dapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, facebook: Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia – Dept. of Irrigation and Drainage dan twitter @DID_Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette