Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor (tengah) bersama wakil Emirates Red Crescent, Mohamed Salim Aljunaibi (empat kiri) serta Pengerusi Yayasan Raja Muda Selangor, Tan Sri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj (tiga kanan) serta yang lain bergambar kenangan pada Majlis Penyerahan Bantuan Mangsa Banjir di Wisma MBSA, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 03 JANUARI 2022.

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor hari ini menerima sumbangan 9,600 barangan keperluan daripada Kerajaan Emeriah Arab Bersatu (UAE).

Sumbangan menerusi Emirates Red Cresent diberikan kepada mangsa-mangsa yang terkesan akibat banjir di negeri ini.

“Antara barangan makanan kering yang disumbangkan adalah beras (10kg), minyak masak (5kg), tepung gandum, gula, garam, susu tepung, biskut dan sebagainya.

“Sumbangan yang diterima juga dalam bentuk kit pembersihan untuk kegunaan mangsa banjir seperti ubat dan berus gigi, cecair pencuci tangan, tuala wanita, dan pelbagai lagi barangan,” kata Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam satu kenyataan, hari ini.

Menerima sumbangan itu adalah Pengerusi Yaysan Raja Muda Selangor, Tan Sri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj.

Turut hadir, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor.

Menurut Zamani, segala sumbangan itu akan diberikan kepada yang layak menerusi Ahli Majlis Negeri.

“Sumbangan ini kita akan beri menerusi data yang diberikan oleh Ahli Majlis Negeri.

“Kita akan serah rumah ke rumah dan kita telah buat edaran melalui mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah Zamani lagi, kerajaan akan memfokuskan kepada kawasan yang teruk dilanda banjir antaranya Sri Muda di Shah Alam. – MalaysiaGazette