Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Mangsa Banjir di Wisma MBSA, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 03 JANUARI 2022.

SHAH ALAM – Kerja-kerja pembersihan sampah-sarap akibat banjir di Taman Sri Muda, di sini, kini sudah mencecah 60 peratus.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata, kerja-kerja pembersihan di kawasan itu dijangka tamat minggu depan.

“Kebanyakan tempat sudah ada 100 peratus dilaksanakan cuma di (Taman) Sri Muda ini agak besar dan sekarang sudah 60 peratus bersih.

“Kita cuba selesaikan dalam minggu ini juga,” katanya kepada media selepas hadir majlis sumbangan banjir oleh kerajaan Emeriah Arab Bersatu (UAE) di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), hari ini.

Untuk mencapai hasrat itu, kerajaan negeri telah menggandakan usaha dan aset bagi memastikan kadar pembersihan sisa-sisa banjir dapat dibersihkan dengan kadar segera.

“Sekarang KDEB tengah gandakan lori untuk memastikan kita lebih cepat bersihkan terutamanya back hoe dan kita bawa lori 10 tan malah ada 30 tan,” jelas Zamani.

Dalam pada itu, Zamani berkata wujud ‘sampah-sarap jadian’ di kawasan yang sudah dibersihkan oleh KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM).

Ia dipercayai dilakukan oleh syarikat-syarikat perkilangan berhampiran yang membuang sampah-sarap di tepi jalan mahupun kawasan perumahan.

“Kita mohon kepada penduduk yang kita sudah bersihkan tapi ada lagi sampai banjir baru. Tidak tahu daripada mana sampah itu kita minta kawasan perindustrian dan kilang kalau nak buang disebabkan banjir, kita ada stesen untuk pindahkan sampah-sarap itu.

“Jangan buang di tepi jalan raya dan kawasan perumahan sebab kita sudah bersihkan dan kita kena buat kerja dua kali,” katanya lagi.

Sebelum ini, Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, pihaknya memerlukan kira-kira seminggu lagi untuk menyelesaikan kerja pembersihan pasca banjir di Taman Sri Muda.

Taman Sri Muda menjadi tumpuan pihaknya kerana kawasan itu paling teruk terjejas, selain mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, ujar beliau. – MalaysiaGazette