Football Association of Malaysia (FAM) announced the resignation of Tan Cheng Hoe as the Head Coach of the national football team
Tan Cheng Hoe

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan Tan Cheng Hoe telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Jurulatih Kebangsaan.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat berikutan kegagalan skuad kendaliannya melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, baru-baru ini.

“Cheng Hoe telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan FAM dan menyatakan hasratnya itu.

“Selepas berbincang secara terbuka daripada semua sudut, pihak pengurusan FAM akhirnya menghormati keputusan tersebut dan bersetuju untuk melepaskan Cheng Hoe menerusi persetujuan bersama kedua-dua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Cheng Hoe yang secara keseluruhannya telah berkhidmat selama 14 tahun bersama FAM sejak bergelar penolong jurulatih skuad B-20 kebangsaan pada 2005 hingga 2013 sebagai penolong jurulatih kebangsaan dan kembali semula pada 2017 sebagai penolong jurulatih kebangsaan kepada Nelo Vingada.

Antara kejayaan yang diraih Cheng Hoe adalah membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 ketika bergelar pembantu kepada Datuk K. Rajagobal serta naib juara Piala Suzuki AFF 2018 selaku ketua jurulatih. – MalaysiaGazette