Anggota bomba membantu mangsa yang kenderaannya terjatuh dari jambatan Sungai Klang dalam kejadian tengah malam tadi. Foto JBPM Selangor

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki berdepan detik cemas apabila kenderaan yang mereka naiki terbabas lalu terjatuh dari jambatan Sungai Klang berhampiran Central Point, Klang tengah malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.20 tengah malam sebelum sebuah jentera bersama Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, berdasarkan laporan awal, kejadian itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga yang terbabas dan terjatuh dari jambatan berketinggian kira-kira tiga meter.

“Kereta itu dinaiki tiga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an dan kesemua mangsa berjaya keluar dari kenderaan sebelum anggota bomba sampai di lokasi.

“Dua mangsa cedera ringan manakala seorang lagi dipercayai mengalami kecederaan parah bahagian dalaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Norazam, kesemua mangsa kemudiannya telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah menggunakan EMRS untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast