Razeef Rakimin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad sudah tidak sesuai menjadi pengerusi parti berkenaan apatah lagi calon ketua pembangkang mahupun perdana menteri.

Selain faktor umur dan kesihatan, Mahathir juga didakwa sebagai pengkhianat janji Pakatan Harapan (PH) kepada rakyat, kata Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Razeef Rakimin.

“Saya rasa masanya sudah terlalu lama berlalu. Saya fikir ramai yang telah menyatakan demikian dalam pembangkang sendiri. Sudah tiba masanya untuk pemimpin baru mengambil alih Pejuang, selain anak Mahathir sendiri yang tidak kompeten memimpin parti itu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Razeef berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kritikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Tegasnya, Mukhriz tidak sepatutnya mencampuri urusan PH memandangkan mereka telah mengkhianati gabungan ini.

Sebaliknya, Mukhriz sepatutnya menasihati perkara sama kepada ayahnya, Mahathir dan cermin diri sama ada beliau benar layak memimpin sebuah parti.

“Bukan hak beliau untuk menentukan siapa layak memimpin Pakatan Harapan. Namun bila serangan sudah dimulai, beliau juga perlu bersedia menerima serangan balas.” tambah beliau lagi.

Menurutnya Mukhriz hanya politikus bangsawan yang berada di tempatnya hari ini kerana ‘diletakkan’ oleh ayahnya.

Ujar beliau, Mukhriz yang pernah dua kali menjadi menteri besar namun kedua-duanya tidak cukup penggal selepas digulingkan.

Berbeza dengan Anwar yang diperkecil-kecilkan oleh Mukhriz telah berjuang sejak di zaman mahasiswa dan meringkuk dalam penjara selama 11 tahun atas konspirasi kerana membawa suara rakyat.

“Hari ini walaupun dikhianati termasuk oleh Mahathir, Anwar adalah Presiden Parti Keadilan Rakyat, Pengerusi Pakatan Harapan dan Ketua Pembangkang Malaysia dengan pencapaian demi pencapaian yang diiktiraf dunia,” katanya.

Razeef juga menasihati Mukhriz agar menjaga parti sendiri.

Bahkan beliau berkata, Mukhriz perlu bersedia kehilangan seorang Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri di Selangor pada bila-bila masa sahaja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast