Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyampaikan bantuan semasa menyertai Unit Pasukan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) membuat tinjauan operasi banjir di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor serta membawa bantuan ke PPS Sementara di Segamat, Johor baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Penduduk kawasan risiko banjir dinasihatkan supaya jangan berlengah untuk berpindah dari kediaman masing-masing jika diminta berbuat demikian.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, mereka perlu sentiasa bersedia untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah ditetapkan.

Beliau memberi nasihat berkenaan ketika menyertai Unit Pasukan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) membuat tinjauan operasi banjir di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor serta membawa bantuan ke PPS Sementara di Segamat, Johor baru-baru ini.

Beliau bersama-sama pasukan JBPM berkesempatan menyantuni mangsa-mangsa banjir di PPS Kampung Pudu, Kampung Lubuk Lanjut dan Sekolah Kebangsaan Batu Anam, Segamat.

PPS Kampung Pudu menempatkan 53 orang mangsa dari 14 buah keluarga, PPS Kampung Lubuk Lanjut mempunyai 94 orang mangsa dari 26 buah keluarga manakala PPS SK Batu Anam menempatkan 254 orang mangsa dari 81 buah keluarga.

Reezal Merican turut menyatakan pasukan bomba dan penyelamat di semua negeri yang sedang dilanda Monsoon Timur Laut telah pun bersedia dan sepenuhnya dengan kekuatan sebanyak 7,257 orang keseluruhannya.

Selain itu, katanya, 438 buah aset dan jentera telah diatur gerak di semua kawasan berisiko bagi memudahkan operasi menyelamat dan pemindahan dilakukan.

Beliau juga memberikan penghargaan dan pujian terhadap pengurusan bencana yang cukup baik dan teratur di negeri Johor yang membolehkan proses pemindahan mangsa berjalan dengan lancar.

Usaha menyelamat dan pemindahan mangsa secara bersepadu yang diselaraskan oleh Kerajaan Negeri serta antara agensi kerajaan termasuk JBPM di Negeri Johor amatlah baik dan cekap.

Beliau juga merafak setinggi-tinggi kasih Kebawah Tuanku Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor yang berkenan mencemar duli berangkat turun melihat sendiri keadaan rakyat yang terjejas akibat banjir ini sejak dari kejadian banjir ini berlaku.

KPKT turut menyerahkan 700 unit Bakul Bencana KPKT sumbangan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) berupa barangan makanan kering seperti beras, air mineral, tepung, gula dan sebagainya kepada semua keluarga mangsa yang terkesan di PPS yang dilawati.

Beliau turut memberi jaminan, bahawa KPKT akan memastikan
usaha pemulihan akan diteruskan setelah banjir surut di Segamat.

Dengan peruntukan sebanyak RM67.5 juta bagi tujuan kerja-kerja pasca banjir yang diumumkan baru-baru ini, ia juga meliputi persediaan banjir gelombang kedua di Johor, Kelantan, Terengganu, Perak, dan Pulau Pinang.

KPKT telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM7.8 juta bagi kerja perkhidmatan kutipan, pembersihan dan pelupusan sisa banjir dan ia menjadikan, jumlah peruntukan untuk kerja-kerja pembersihan pasca banjir secara kumulatifnya adalah berjumlah RM20.4 juta.

Orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi talian kecemasan Nasional Disaster Command Centre (NDCC) di 03-8064 2400 sekiranya memerlukan bantuan kecemasan dan juga balai-balai bomba berdekatan.- MalaysiaGazette