Home Nasional ‘Raja Bomoh’ buat ritual tolak bala di Teluk Intan

‘Raja Bomoh’ buat ritual tolak bala di Teluk Intan

KUALA LUMPUR – Selepas mendakwa telah ‘memagar’ seluruh dunia daripada penularan Covid-19, ‘Raja Bomoh’ Ibrahim Mat Zin membuat kemunculan semula.

Menerusi perkongsian video berdurasi 25 minit yang dimuat naik di laman Facebook Perak Press, Ibrahim dilihat membuat satu lagi ritual di Teluk Intan.

“Raja Bomoh 1 Malaysia datang lagi, kali ini beliau bergabung pula dengan Puteri Zaleha Serai Semambu (menurut sumber) buat ritual tolak bala dekat Teluk Gelanggang, Teluk Anson (Teluk Intan) pada hari ini,” tulis Perak Press.

Ibrahim sebelum ini mendakwa telah memagar seluruh dunia khususnya Malaysia daripada wabak tersebut selepas diminta berbuat demikian selain rasa tanggungjawabnya sebagai rakyat negara ini.

Untuk rekod, Ibrahim sememangnya dikenali dengan pelbagai aksi aneh dan untuk upacara ‘memagar’ kali ini, dia menggunakan teleskop milik moyangnya yang didakwa juga  seorang bomoh selain beras kunyit serta daun pandan.

Pada 2017 lalu, Ibrahim membuat pengakuan bersalah dan bertaubat atas beberapa amalan ritual yang dilakukannya sebelum ini.

Beliau turut mengaku semua tindakannya itu adalah pembohongan atas arahan seorang individu yang tidak boleh didedahkan. – MalaysiaGazette