29 penagih tegar termasuk tokan dadah dicekup di sebuah ladang kelapa sawit yang baru dijadikan port dadah selama seminggu yang lalu selepas diserbu polis Kuala Langat awal Januari ini. Ihsan IPD Kuala Langat

 

KUALA LANGAT – Seramai 29 lelaki, termasuk seorang tokan,  ditahan polis semalam di sebuah ladang kelapa sawit yang dijadikan ‘port’ di Jalan Klang-Banting, Seri Cheeding, di sini, untuk menagih dadah.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Salleh berkata, lokasi tersebut dipercayai baru seminggu beroperasi untuk penagih dadah melepaskan gian.

Katanya, kesemua suspek yang dicekup dalam operasi Sarang itu merupakan penagih tegar dan pernah ditahan dan menjalani hukuman penjara berulang kali.

Port dadah yang menjadi tumpuan penduduk sekitar berkenaan dipercayai beroperasi bermula awal pagi sehingga lewat malam di mana tokan yang berusia dalam lingkungan 30-an akan berlegar-legar di sekitar ladang berkenaan.

“Pasukan narkotik kita buat pemerhatian di port ladang sawit itu selama dua hari sebelum mendapati tokan ini sebelumnya beroperasi di beberapa port di kebun sawit yang lain yang mana dia sebenarnya berpindah-randah secara nomad untuk mengelakkan aktivitinya dihidu oleh pihak berkuasa.

“Pasukan polis narkotik masuk dan berjaya menahan tokan dadah terlebih dahulu sebelum kami terus tunggu dan menahan penagih yang memasuki port kebun sawit baharu itu satu demi satu sehingga mencekup kesemua 29 orang ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, hari ini.

Tambah beliau, salah seorang daripada suspek adalah warga Bangladesh manakala selebihnya adalah warga tempatan yang mana kesemuanya adalah penganggur.

Menurut Ahmad Ridhwan, dalam serbuan sama, pasukannya merampas dadah jenis heroin seberat 24.80 gram serta syabu (0.60 gram) yang dianggarkan bernilai RM500 serta wang tunai sebanyak RM350 disyaki hasil jualan dadah tersebut.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun itu dilibatkan dalam ujian saringan air kencing sebelum disahkan positif dadah jenis opiat dan memiliki rekod kesalahan jenayah lampau,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta turut disiasat di bawah Seksyen 39B yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Jelas beliau, kesemua suspek kini direman selama empat hingga tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette