Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik (tengah), Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir (kiri), Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil (dua kiri) dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah selepas membuat laporan polis terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 07 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Beberapa ahli Parlimen pembangkang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Ketua Pesuruhajaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bercuti atau pun meletak jawatan semasa siasatan dakwaan pemilikan sejumlah saham terhadapnya dijalankan.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik berkata, dakwaan terhadap Azam bukan sekadar melibatkan lingkungan undang-undang sahaja namun ia berkait dengan isu moral, integriti serta kelangsungan masa depan negara.

Sekiranya ramai yang mengambil sikap berdiam diri atau mengiktiraf dakwaan salah laku tersebut, maka isu berkenaan akan menjadi titik tolak kepada sebuah negara yang gagal, katanya.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik bercakap kepada media selepas membuat laporan polis terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 07 JANUARI 2022.

“Hari ini dengan apa yang berlaku, justifikasi pemilikan saham dipercayai bernilai jutaan ringgit oleh seorang pemimpin agensi penguat kuasa yang sepatutnya memerangi rasuah, salah laku dan salah guna kuasa tetapi jikalau ini dibenarkan, ia akan menjadi satu titik precedent untuk negara menyaksikan sejarah korupsi akan dihalalkan secara besar-besaran.

“Rakyat perlu bangkit untuk memastikan mereka yang dipertanggungjawabkan untuk memerangi rasuah, mengangkat integriti, moral dan kelangsungan masa depan negara adalah orang yang benar-benar bersih.

“Jikalau kita berdiam diri dan membiarkan, akur atau mengiktiraf salah laku ini, kita akan saksikan di masa depan para penguat kuasa dan mereka yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga integriti dan akauntabiliti negara akan mengumpul kekayaan sebanyak mungkin dan dengan mudah mengatakan ini adalah milik adik, kakak, abang, datuk, nenek dan moyang mereka dan lepas begitu sahaja,” katanya.

Mazslee berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini bersama-sama ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil serta ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.

Jelas Maszlee lagi, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang boleh membuat apa sahaja justifikasi secara teknikal namun dari segi moral, ia telah membawa kepada satu titik permulaan yang gelap bagi sejarah negara.

Sementara itu, Fahmi turut bersetuju supaya Azam selaku pepimpin utama badan itu direhatkan sehingga selesai siasatan bebas secara terperinci.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil. Foto FAREEZ FADZIL, 07 JANUARI 2022.

“SPRM tidak boleh menyiasat SPRM. Perlu ada pihak yang bebas untuk lakukan saiatan. Sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau melalui parlimen itu sendiri.

“Beliau (Azam) juga tidak layak berkhidmat sebagai Ketua Pesuruhjaya dan patut direhatkan sekurang-kurangnya sejak pertemuan dengan LPPR untuk memberi penjelasan.

“Kami juga minta polis menyiasat semua dana yang telah digunakan untuk pembelian saham oleh Azam seperti yang maksudkan dalam kenyataan beliau demi memastikan tidak berlaku pelanggaran undang-undang.

“Sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang kita minta polis ambil tindakan, jika dibuktikan tidak bersalah, beliau boleh meneruskan khidmat,” ujarnya.

Tambah Fahmi lagi, isu dakwaan terhadap Azam perlu dibawa ke satu sidang khas Parlimen akan datang kerana ia melibatkan sebuah institusi teras dalam pentadbiran negara.

“Isu ini juga perlu dibawa ke Parlimen sama ada dalam sidang khas atau pada sidang akan datang. Justeru siasatan penuh juga juga sepatutnya dibuat terhadap SPRM,” katanya.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat secara bersama oleh ketiga-tiga ahli parlimen itu, mereka meminta supaya PDRM melakukan siastan berdasarkan sekurang-kurangnya tiga akta membabitkan penjawat awam dan berhubung milikan saham iaitu Seksyen 25, 25(a) dan 29 (a) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991; Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 tahun 2002 (Pemilikan dan Pengisytiharan Harta Oleh Pegawai Awam) dan Seksyen 10 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam, Kelakuan dan Tatatertib 1993 (Pemunyaan Harta). – MalaysiaGazette